Petaling Jaya – Penyanyi lagenda, Datuk Aishah kini kembali dengan single terbaharu, Taman Keabadian buat para peminat yang sentiasa menyokong perjalanan karier seninya selama hampir empat dekad.
Menurut Aishah, lagu ini diharapkan bukan sahaja dapat menghiburkan pendengar, di samping dapat memberi kekuatan dan ketenangan kepada mereka yang sedang melalui fasa kehilangan insan tersayang.
‘’Saya tujukan lagu ini kepada semua yang merindui insan-insan tercinta yang telah pun pergi ke negara abadi.
’“Hanya keyakinan kita akan bertemu semula di negara abadi kelak dapat sedikit sebanyak mengubat kerinduan dan luka di hati.’’ katanya.
Senna selaku komposer menjelaskan bahawa lagu ini bersifat peribadi dan istimewa buat dirinya.
Dia memilih Aishah sebagai penyanyi karya ini kerana yakin hanya suara dan jiwa penyanyi ikonik ini mampu menyampaikan makna lagu tersebut dengan sempurna.
‘’Lagu ini begitu peribadi buat saya. Ia menuntut penyampaian yang bukan sekadar teknikal, tetapi penuh penghayatan dan spiritual.
‘’Saya yakin hanya Dato’ Aishah sahaja yang dapat membawa roh lagu ini dengan begitu mendalam. Beliau menyanyi bukan hanya dengan suara, tetapi dengan seluruh jiwa.” ujarnya.
Lagu “Taman Keabadian” boleh dilayari di semua digital streaming platform pada 8 Ogos 2025.