Yonnyboii berjaya ‘tarik’ Malique - Utusan Malaysia

Yonnyboii berjaya ‘tarik’ Malique

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasrat penyanyi, Yonnyboii untuk bekerjasama dengan penerbit dan figura ikonik muzik tanah air, Malique, akhirnya menjadi kenyataan apabila impiannya itu dibuktikan menerusi karya terbaharu berjudul Tanya Tuhan.

Biarpun menganggap kerjasama itu seolah-olah masih dalam mimpi, Yonnyboii atau nama sebenarnya, Zynakal Mohd Yunos, menyifatkan peluang tersebut sebagai sebuah kemenangan yang cukup bermakna dalam pelbagai aspek kehidupannya, baik dari sudut profesional mahupun peribadi.

Selama ini, kata penyanyi dan komposer berusia 26 tahun ini, dia hanya mampu mengagumi Malique dari kejauhan.

Namun, takdir nyata menyebelahi dirinya apabila akhirnya diberi ruang untuk berkongsi pentas seni bersama idola tersebut.

Lebih manis, lirik Tanya Tuhan merupakan hasil gandingan idea bersama Malique, manakala gubahan muziknya pula dicipta bersama LastKhalif yang turut bertindak selaku penerbit keseluruhan projek.

“Peluang ini bukan sekadar satu pencapaian, bahkan sebuah penghormatan besar buat saya.

“Bekerjasama dengan insan-insan hebat seperti Malique dan LastKhalif memberikan saya pengalaman luar biasa yang sukar digambarkan dengan kata-kata,”katanya.

Menjelaskan lanjut, kata Yonnyboii, Tanya Tuhan membawa naratif yang cukup peribadi dan dekat di hatinya.

Lagu ini lahir ketika dia bergelut dengan pelbagai persoalan hidup yang sukar dirungkai, malah pada saat dirinya berada dalam kekeliruan emosi serta tekanan sebagai seorang bapa dan pemuzik.

“Lagu ini bukan ditulis ketika saya dalam kesusahan sangat, cuma saya berada pada fasa jauh dari diri sendiri.

“Banyak tekanan yang saya alami ketika itu. Kadang-kadang kita terlalu penat, mengalami burnout, dan tidak tahu kepada siapa hendak mengadu.

“Itulah momen refleksi dalam hidup saya, dan saya luahkan semua itu dalam bentuk karya ini. Harapan saya, pendengar dapat merasai isi hati saya, dan jika ada yang melalui situasi serupa, semoga lagu ini menjadi kekuatan buat mereka,” jelasnya.

Tidak hanya diberi ruang berkarya dengan figura pujaannya, Yonnyboii turut berbesar hati apabila muzik video Tanya Tuhan diarahkan oleh sahabat baik yang juga pengarah kegemarannya, Thaqif.

“Saya tahu bukan mudah untuk mana-mana pengarah memahami idea gila saya. Namun, Thaqif berjaya menghidupkan visi saya dengan penuh penghayatan.

“Kerjasama ini cukup bermakna kerana saya sudah lama tidak bekerja dengannya. Harapnya selepas ini kami boleh terus berkarya bersama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Yonnyboii turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Kanan, A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng, atas peranan penting beliau dalam merealisasikan kerjasama tersebut.

“Saya sangat bersyukur kerana Hermond percaya kepada visi saya dan membantu menjayakan impian ini.

“Tanpa sokongannya, mungkin karya ini tidak akan dapat dilahirkan sebegini indah,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN