Kumpulan ska punk tersohor Indonesia, Tipe-X bakal menggamatkan pentas Jiospace, Petaling Jaya pada 2 Ogos 2025 ini menerusi konsert eksklusif bertajuk ‘SKALUT PARTY’ sempena sambutan 30 tahun penglibatan mereka dalam industri muzik serantau.
Dianjurkan oleh Rockstage Entertainment, konsert ini bakal menjanjikan satu malam penuh bertenaga dengan elemen ska, punk dan nostalgia, seiring dengan legasi panjang Tipe-X dalam dunia muzik rantau Asia .
Menurut Pengarah Urusannya, Talib Othman pemilihan Tipe-X dilihat bertepatan memandangkan genre ini cukup dekat dengan jiwa peminat di Malaysia yang rata-ratanya terbuka dalam meraikan kepelbagaian karya seni serta budaya muzik tempatan.
“Kami membawakan ‘SKALUT PARTY’ khusus buat peminat Tipe-X yang telah lama menantikan kehadiran mereka ke Malaysia. Ini merupakan satu pesta muzik yang meraikan semangat ska yang penuh warna-warni, tenaga dan nostalgia,” “Kumpulan ini boleh dilabelkan sebagai legenda yang masih mengekalkan keaslian muzik yang telah mereka perjuangkan sejak 30 tahun lalu,” ujarnya.
Ditubuhkan awal 90-an, Tipe-X dikenali sebagai pelopor genre ska punk di Indonesia dan negara serantau termasuk Malaysia. Mereka mula mencipta nama menerusi album sulung ‘Ska Phobia’ (1999), diikuti beberapa karya mega seperti ‘Mereka Tak Pernah Mengerti’ (2001), ‘Super Surprise’ (2003) dan ‘Seven’ (2012).
Antara lagu hits yang terus mendapat tempat di hati peminat termasuk, Genit, Salah, Mawar Hitam, Boyband, Pacar Yang Baik dan Selamat Jalan.
Gabungan elemen ska, punk dan reggae dalam muzik mereka membentuk identiti tersendiri serta merentas generasi peminat sehingga ke hari ini.
Jiospace PJ dipilih sebagai lokasi konsert kerana kapasiti yang sesuai, infrastruktur moden serta kedudukannya yang strategik di tengah bandar. Pihak penganjur turut menjanjikan produksi berteknologi tinggi dengan menampilkan sistem bunyi dan pencahayaan berkualiti bagi memastikan kelancaran persembahan serta memberi pengalaman dinamik kepada penonton yang hadir.
“Kami ingin mencipta suasana yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga mengembalikan semangat zaman kegemilangan muzik ska. Persembahan ini juga akan menyaksikan susunan muzik yang lebih besar, dengan sentuhan eksperimentasi bagi memperbaharui pengalaman penonton,” “Oleh itu kepada semua peminat Tipe-X, khususnya penggemar muzik ska tanah air agar jangan lepaskan peluang menonton persembahan ini kerana ia bukan sahaja julung kali diadakan malah pasti meninggalkan momen indah dan bersejarah,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, peminat boleh mengikuti saluran media sosial rasmi Tipe-X dan Rockstage Entertainment atau hubungi 012-2937976.