Sujudku, realiti golongan asatizah juga ada ujian - Heykal Hanifah - Utusan Malaysia

Sujudku, realiti golongan asatizah juga ada ujian – Heykal Hanifah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Telefilem terbaharu arahan pengarah prolifik, Heykal Hanifah berjudul Sujudku dijangka memberi kesan mendalam kepada penonton apabila naskhah itu tampil dengan pendekatan berani dengan mengetengahkan realiti kehidupan golongan yang tinggi ilmu agamanya.

Menurut Heykal, karya tersebut diangkat bagi menjernihkan stigma sesetengah pihak terhadap kelompok yang dilabel sebagai ‘alim’, kononnya tidak pernah diuji dalam kehidupan seharian.

“Realitinya, setiap insan tidak akan terlepas daripada ujian hidup, termasuklah golongan Hafiz dan Hafizah.

“Ramai yang menyangka mereka ini baik-baik sahaja, tidak diuji, dan hidup dalam zon selesa. Namun itu tidak benar.

“Dalam Sujudku, saya garap kisah seorang wanita mukminah yang bergelut dengan trauma dan kehilangan.

“Ujian sebegini boleh menimpa sesiapa, tidak kira sejauh mana pun seseorang itu dekat dengan Tuhan,” katanya.

Heykal menambah, telefilem tersebut bukan sekadar sebuah karya seni semata-mata, sebaliknya cerminan realiti sosial yang membincangkan isu-isu berat seperti keganasan rumah tangga, penyalahgunaan dadah dan kesihatan mental wanita.

“Sujudku mengangkat pentingnya peranan sistem sokongan keluarga, sahabat dan yang paling utama, kebergantungan kepada Allah SWT dalam menghadapi episod gelap kehidupan.

“Kita mahu penonton memahami bahawa sujud bukanlah lambang kelemahan, sebaliknya itulah kemuncak kekuatan dan penyembuhan rohani yang sebenar,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Kanan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar menyifatkan Sujudku sebagai naskhah sarat pengajaran dan selari dengan misi saluran tersebut yang mahu menyampaikan ilmu dan nilai keislaman melalui medium hiburan bermakna.

“TV AlHijrah telah memilih tujuh tajuk terbaik untuk tayangan khas tahun ini dan Sujudku antara yang paling menonjol.

“Ia bukan sekadar hiburan, tetapi membawa misi mendidik dan menyentuh hati penonton,” jelasnya.

Mengangkat kisah penuh pengajaran, Sujudku menampilkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Nad Zainal sebagai Fateha, Faezah Elai (Nurul Ain), Lisdawati (Rahila), Raja Atiq Azman (Hanzalah), Kodi Rasheed (Marwan) dan Adik Firman sebagai Nukman.

Pendekatan naratif yang jujur dan realistik dalam Sujudku dijangka meninggalkan kesan mendalam kepada penonton, khususnya dalam memahami hakikat bahawa sujud adalah bentuk tertinggi penyerahan diri seorang hamba kepada Penciptanya.

Saksikan telefilem Sujudku pada Ahad, 6 Julai 2025, jam 9.00 malam hanya di TV AlHijrah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN