KUALA LUMPUR: Isteri kepada pengacara dan pelawak, Fikry Ibrahim, iaitu Siti Khalizah Alihan menafikan dakwaan bahawa isu rumah tangganya digunakan sebagai strategi pemasaran untuk mempromosikan produk perniagaan yang bakal dilancarkan.
Menurut Siti Khalizah, dia tidak pernah merancang atau mengharapkan perkara seperti itu berlaku dalam hidupnya, apatah lagi menjadikan kisah peribadi sebagai bahan ‘marketing’.
“Kita ini manusia biasa, tak sempurna. Kadang-kadang Allah uji. Ada yang tanya saya, ‘Mama betul ke netizen kata marketing kena guna cerai dulu baru boleh jual produk?’
“Tapi sebenarnya, benda itu (isu cerai) bukan kita minta. Kita sendiri pun tak nak ia terjadi,” katanya dalam satu siaran langsung di media sosial.
Khalizah turut menegaskan bahawa isu seperti perceraian bukan sesuatu yang wajar dijadikan bahan untuk dicanang atau ditonjolkan kepada umum.
“Tak ada siapa pun yang nak bangga dengan perkara buruk. Tak ada siapa yang harap perkara macam ini berlaku.
“Apa yang jadi itu adalah ujian daripada Allah buat kami sebagai suami isteri. Saya pun walau tak pandai sangat bab agama, tapi saya tahu juga hukum-hakam.
“Apa yang saya buat bukan semudah yang orang fikir. Siapa je nak kahwin tak bahagia bukan,”katanya.
Selain itu, mengulas mengenai tanggapan orang ramai terhadap isu yang berlaku, Khalizah meminta agar masyarakat tidak membuat andaian melulu kerana hanya dia dan suaminya sahaja yang benar-benar tahu situasi sebenar.
“Kami tak cerita pun hal rumah tangga pada umum. Jadi hanya saya dan suami saja yang tahu apa sebenarnya yang berlaku.
“Orang mungkin nampak dari luar, tapi tak tahu kisah sebenar. Saya buat keputusan pun bukan senang,” jelasnya.
Menurutnya lagi, setiap rumah tangga ada cabaran dan ujian tersendiri namun yang penting adalah usaha untuk memperbaiki keadaan demi kebaikan bersama terutama apabila melibatkan anak.
“Saya dan suami masih berusaha ke arah yang lebih baik. Tak ada siapa yang nak perkara ini berlaku, lebih-lebih lagi kami ada anak perempuan.
“Rumah tangga ni memang ada ujian, jadi iman kena kuat. Doakan yang baik-baik.
“Kadang-kadang kita sendiri pun ada silap. Tak boleh salahkan orang 100 peratus. Kadang-kadang ada juga kelemahan kita sebab itu benda itu berlaku bukan.
“Sekiranya panjang jodoh, Allah tentukan panjang jodoh itu maka panjanglah ia. Sekiranya Allah kata sampai situ saja dan itu takdir atau ujian kita, maka siapalah kita hendak menidakkannya bukan,”katanya.
Pada 19 Jun lalu, Khalizah dilapor hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada jam 9.40 pagi sekali gus menimbulkan desas desus bahawa dia dan Fikry bakal bercerai.
Bagaimanapun, Fikri mendakwa, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan meminta agar prosiding menarik balik permohonan cerai yang difailkan Siti Khalizah, Mei lalu, ditangguhkan kepada tarikh lain.
Fikry dan Siti Khalizah bernikah pada majlis tertutup di Kedah, kira-kira empat bulan lalu. Ini adalah perkahwinan kedua untuk Siti Khalizah.