PETALING JAYA: Komposer dan penulis lirik terkenal, Saari Amri, tampil memohon maaf secara terbuka kepada gitaris kumpulan Barbarik, JoBranko atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, susulan kenyataan tidak tepat yang dibuat dalam satu sesi temu bual di YouTube baru-baru ini.
Permohonan maaf itu merujuk kepada video “Sembang Pantai Timur – Saari Amri Pernah Kena Khianat Hilang Syarikat Rakaman” terbitan THR Gegar pada 12 Jun 2025, di mana Saari menyebut nama JoBranko sebagai individu terlibat dalam isu pembelian premis atau studio rakaman. Beliau kemudian mengakui kenyataan itu tidak benar dan dibuat tanpa niat jahat
“Saya secara khilaf telah menyebut nama JoBranko dalam temubual tersebut, walhal beliau langsung tidak tahu menahu dan tidak terlibat dalam isu yang saya ceritakan. Saya amat kesal dan mohon maaf secara terbuka kepada Jo serta semua pihak yang terkesan akibat kekhilafan saya itu,” kata Saari, sambil menjelaskan kenyataan itu dibuat secara tidak sengaja tanpa niat untuk memfitnah atau mengaibkan mana-mana individu.
Beliau turut menjelaskan bahawa sejak mengalami kemalangan serius pada tahun 1997, beliau kadang kala menghadapi kesukaran mengingati fakta yang tepat. Saari turut menyatakan penghargaan kepada JoBranko yang memilih untuk menyelesaikan perkara ini secara baik dan berharap permohonan maaf itu mampu menghentikan sebarang spekulasi serta membersihkan nama baik gitaris tersebut di mata umum.
Sementara itu, peguam JoBranko, Colin Victor George dari firma Tetuan Colin Victor & Co., berkata siasatan terperinci termasuk semakan rakaman dan maklumat daripada pihak ketiga mendapati JoBranko langsung tidak terlibat dalam isu pembelian premis atau studio seperti yang disebut oleh Saari dalam temu bual tersebut.
Menurut Colin, selepas perbincangan dibuat, Saari mengakui kekhilafannya dan bersetuju untuk membuat permohonan maaf secara terbuka, manakala JoBranko pula menerima permohonan itu dengan hati terbuka. Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak mengeluarkan komen berbentuk fitnah terhadap anak guamnya.
“Kami telah mengenal pasti beberapa individu yang membuat kenyataan mengaibkan JoBranko di media sosial dan tindakan sewajarnya sedang diambil. Penyebaran fitnah bukan sahaja membawa implikasi undang-undang, tetapi turut mencemar nama baik individu tidak bersalah,” tegas Colin.