Putus cinta dengan jejaka Perancis, Nikki Palikat single tapi tak ‘available’ - Utusan Malaysia

Putus cinta dengan jejaka Perancis, Nikki Palikat single tapi tak ‘available’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Nikki Palikat memaklumkan hubungannya dengan jejaka asal Perancis sudah berakhir kira-kira enam bulan lalu.

Menurut Nikki atau Nicollete Louise Palikat, 40, ini merupakan kali pertama dia hidup bersendirian tanpa pasangan dalam tempoh 15 tahun.

Kata Nikki, dia mahu mengecapi kehidupan sendiri tanpa memikirkan komitmen bersama teman lelaki atau suami.

“Kami sudah tidak ada apa-apa hubungan. Saya sudah single tetapi tidak ‘available’. Dalam enam bulan juga kami sudah putus hubungan.

“Inilah kali pertama saya single dalam masa 15 tahun. Selama ini memang ada saja (pasangan) jadi saya rasa inilah masanya untuk saya enjoy dengan kehidupan single,” katanya.

Dalam pada itu, Nikki berkongsi dia lebih bahagia kerana boleh melakukan apa sahaja tanpa mengundang masalah dalam hubungan.

Jelas Nikki, dia kini memiliki rasa ketenangan sepenuhnya dan selesa dengan statusnya sebagai wanita solo.

“Saya sedar bila saya dengan diri sendiri, tiada langsung masalah. Saya tak cari masalah untuk puaskan hati sendiri.

“Kita miliki 100 peratus rasa aman dan bahagia itu sendiri. Macam mana saya tak gembira. Saya baharu sedar yang saya suka hidup sendiri (tanpa pasangan).

“Sebelum ini apa sahaja yang saya lakukan dengan pasangan rupa-rupanya saya juga boleh buat sendiri. Kenapa tidak?,” ujarnya.

Penyanyi lagu Caramu ini bagaimanapun memberitahu dia masih terbuka untuk mendirikan rumah tangga sekiranya bertemu dengan lelaki tepat.

“Saya masih terbuka untuk menerima pasangan dalam hidup. Kalau ada lelaki yang sesuai kenapa tidak.

“Saya ni orangnya romantis, kalau datang peluang untuk bercinta kembali, saya suka sahaja pada perkahwinan.

“Saya rasa saya boleh jadi seorang isteri yang baik, daripada apa yang saya lalui dalam hidup ini.

“Tetapi dalam satu hubungan itu perlu ada komitmen daripada dua-dua pasangan (suami dan isteri). Kalau tiada calon (suami) yang sesuai, saya okey sahaja hidup sendiri,” katanya.

Pada tahun lalu, Nikki memaklumkan dia sedang menjalin hubungan cinta dengan jejaka Perancis selepas berkenalan sewaktu mendapatkan rawatan kiropraktik daripada jejaka berkenaan yang merupakan pengamal perubatan alternatif.

Kata Nikki, teman lelakinya itu tidak mengetahui dia adalah seorang penyanyi pada awal perkenalan mereka sehinggalah didedahkan oleh kenalan mereka.

Untuk rekod, Nikki sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer Audi Mok pada Jun 2009 namun mengumumkan penceraian pada Jun 2022.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Liam Mok yang kini berusia 15 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN