LOS ANGELES : Penyanyi tersohor antarabangsa, Beyoncé sekali lagi menjadi tumpuan apabila peminatnya bertelagah di media sosial susulan spekulasi kononnya dia bakal bersara selepas menamatkan jelajah konsert jelajah terbaharunya, Cowboy Carter Tour.
Difahamkan, Beyoncé, 43, kini berada di fasa terakhir siri jelajah tersebut yang bermula pada 28 April lalu di Inglewood, California, dan konsert itu dijadualkan berakhir pada 26 Julai ini di Paradise, Nevada.
Jelajah yang secara rasmi dinamakan Cowboy Carter and the Rodeo Chitlin’ Circuit Tour itu diadakan bagi mempromosikan album terbaharunya berjudul Cowboy Carter yang merupakan kesinambungan kepada trilogi album bermula dengan Renaissance pada tahun 2022.
Namun begitu, suasana hangat tercetus dalam kalangan peminat, terutamanya di platform media sosial apabila ramai mula meluahkan kebimbangan mengenai kemungkinan penyanyi itu akan meninggalkan pentas hiburan buat selamanya.
“Saya betul-betul rasa Beyoncé akan bersara,” kata seorang peminat panik di X manakala seorang lagi peminat sekadar menganggap ia firasat yang mungkin tidak benar.
“Saya takut sangat Beyoncé akan bersara dan sebab itulah dia buat konsert berturut-turut. Saya kena tengok dia secara langsung sebelum terlambat!”luah seorang pengguna X lain.
Bagaimanapun, sebilangan peminat lain menolak dakwaan tersebut dengan menegaskan bahawa Beyoncé sebelum ini telah berkali-kali menyatakan cintanya terhadap muzik dan nyanyian, malah menganggap muzik sebagai sebahagian daripada jiwanya.
“Beyoncé masih berada di kemuncak kerjaya. Gila kalau fikir dia nak bersara sekarang,” ujar seorang peminat yang mempertahankan penyanyi tersebut.
Difahamkan, spekulasi mengenai persaraannya juga mungkin tercetus susulan beberapa insiden sepanjang jelajah berkenaan termasuk jualan tiket yang kurang memberangsangkan di beberapa lokasi, masalah teknikal di atas pentas dan isu koreografi.
Baru-baru ini, ketika menjayakan konsert di Paris, Beyoncé mencipta detik manis apabila suaminya, Jay-Z, turut naik ke pentas buat kali pertama dalam tujuh tahun bagi menyanyikan lagu hit mereka, Crazy in Love.
Anak perempuan mereka, Blue Ivy, juga membuat kemunculan istimewa, menjadikan persembahan tersebut umpama satu acara keluarga yang cukup bermakna.
Namun detik cemas berlaku di konsert di Houston, Texas apabila prop berbentuk kereta merah yang digunakan dalam persembahan lagu 16 Carriages tiba-tiba beralih condong sewaktu tergantung di udara.
Keadaan itu hampir menyebabkan penyanyi terbabit terjatuh ke arah penonton.
Insiden itu mendapat perhatian ramai, namun Beyoncé tetap tenang dan meneruskan persembahan dengan penuh profesionalisme.
Pihak pengurusannya kemudian mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan bahawa kejadian itu berpunca daripada masalah teknikal.
Jelajah Cowboy Carter dijangka melabuhkan tirainya dalam masa kurang tiga minggu lagi.