PETALING JAYA: Setelah sekian lama menyepi, penyanyi, Hafiz Suip tampil memuntahkan segala keperitan yang ditanggungnya sendiri selama ini.
Menerusi sebuah hantaran video di Instagram, Hafiz atau Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 35, bagaimanapun memaklumkan dirinya tidak pernah hilang dari industri cuma, selesa untuk meneruskan kerjaya seni secara sederhana.
“Saya bukan menyepi. Saya ada saja cuma bila umur semakin meningkat dewasa ini, sudah tiada zaman untuk bersuka-ria itu.
“InsyaAllah, dengan sokongan peminat saya akan terus berada dalam industri seni,” katanya.
Mengulas mengenai keperitan hidup, Hafiz mengakui dunianya seakan runtuh tatkala berjauhan dengan anak-anak selain terpaksa menanggung tohmahan negatif orang sekeliling terhadapnya.
“Berjauhan dengan anak-anak, itu benda paling sedih sampai sekarang. Namun, perkara paling sedih apabila orang anggap kita jahat saja di mata mereka.
“Mulut orang kita tak boleh tutup, apa yang kita buat hanya teruskan kehidupan, tahu nawaitu (niat) kita. Lambat laun orang akan faham. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga,” ceritanya.
Pun begitu, penyanyi lagi Bahagimu Deritaku itu lega kerana masih lagi mempunyai orang yang prihatin terhadap kehidupannya.
“Bagi saya, banyak tohmahan dilemparkan tapi kita bersyukur sebenarnya ada orang prihatin dan tegur dari tiada. Itu lagi sakit sebenarnya.
“Saya bersyukur saja dengan pemberian-Nya. Saya rasa saya bahagia dengan kehidupan seperti ini. Cuba untuk berdamai dengan kehidupan tanpa menyalahkan sesiapa kerana itu hanya akan menambahkan kekusutan.
“Apabila bersyukur, terima dan reda baru kita jumpa kebahagiaan itu,” jelasnya sehingga gagal menahan air mata.
Terdahulu, Hafiz mengesahkan rumah tangganya bersama Nureffy tidak dapat diselamatkan lagi menerusi temu bual bersama program hiburan Melodi.
Untuk rekod, Hafiz dan Nureffy mendirikan rumah tangga pada 14 Mei 2016.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayna, 5.