Kemelut dengan mentua; saya dan Tuju fokus keluarga kecil kami - Loca B

Kemelut dengan mentua; saya dan Tuju fokus keluarga kecil kami – Loca B

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Enggan terus dibayangi episod duka melibatkan keluarga mentua, penyanyi dan komposer, Loca B, memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap masa depan anak-anak dan kehidupan baharunya.

Menurut Loca B atau nama sebenarnya, Nabilah Hani Azali, 33, dia tidak lagi mahu membiarkan isu berpanjangan itu menjejaskan kestabilan emosi serta kesihatan mental kerana faktor itu penting dalam membesarkan anak-anak.

“Saya sudah ‘move on’. Fokus saya kini hanyalah kepada kehidupan baru serta masa depan anak-anak.

“Saya doakan yang terbaik buat semua pihak, dan berharap kita semua dapat terus bermuhasabah.

“Saya hanya mahukan yang terbaik untuk kami semua daripada kesihatan mental, fizikal dan emosi masing-masing,” katanya ketika ditemui pada sidang media The Chosen One Xtra X Jutawan Ekspres yang berlangsung di Astro, Bukit Jalil, semalam.

Mengulas lanjut, penyanyi lagu Lima Minit itu mengakui kemelut bersama keluarga mentua merupakan satu ujian daripada Allah.

Pada masa yang sama, dia juga mengakui segala perkongsian yang dibuat di media sosial selama ini terpaksa dilakukan kerana sudah sudah bertahun memendam rasa.

“Banyak yang berlaku dalam hidup saya, dan semuanya memerlukan penyelesaian yang matang.

“Saya tidak mahu terus hidup dalam tekanan. Saya hanya mahu teruskan kehidupan, mencari rezeki halal, dan memastikan anak-anak saya membesar dengan cukup kasih sayang.

“Itulah tanggungjawab terbesar saya sekarang,”jelasnya.

Selain itu, menyentuh mengenai reaksi suami tercinta, Tuju atau nama sebenarnya Mohd Azree Shah Awang Zamree, 29, penyanyi kumpulan K-Clique itu difahamkan sentiasa berada di sisi dan memberikan sokongan penuh kepadanya.

“Suami saya tidak perlu bersuara lantang untuk membuktikan sokongannya. Saya tahu dia sentiasa bersama saya dan telah melakukan yang terbaik untuk melindungi kami.

“Kami sekarang hanya mahu memberi tumpuan kepada keluarga kecil kami,”katanya.

Untuk rekod, pada Februari lalu, Loca mendedahkan rasa tidak puas hati terhadap ibu mentuanya menerusi media sosial dengan mendakwa wanita berkenaan pernah mencuri hasil titik peluhnya ketika dia sedang hamil anak perempuan mereka, Bintang Aiko.

Tambah Loca, dia tidak mahu lagi hidup dalam keadaan trauma dan mengambil keputusan untuk menceritakan segala-galanya kepada umum demi ketenangan diri serta keluarga.

Pasangan Loca dan Tuju mendirikan rumah tangga pada Mac 2021 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Bintang Aiko yang kini berusia tiga tahun.

Loca turut mempunyai seorang anak lelaki bernama Yusuf Alexander, 9, hasil perkahwinan terdahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN