Intan Najuwa nafi ‘show off’ kemewahan - Utusan Malaysia

Intan Najuwa nafi ‘show off’ kemewahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon,Datin Intan Najuwa menegaskan,perkongsian mengenai kehidupan peribadinya di media sosial bukanlah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk kemewahan, sebaliknya sekadar ingin berkongsi rutin harian serta memberi inspirasi kepada pengikutnya.

Intan atau nama sebenarnya, Intan Najuwa Abdul Wahid, 27, berkata, dia sudah biasa berkongsi perkembangan hidupnya sejak sebelum berkahwin lagi dan perkara itu diteruskan selepas bergelar isteri dan ibu.

“Apa yang saya muat naik di media sosial adalah untuk menggembirakan diri sendiri dan sebagai satu cara berinteraksi dengan pengikut saya.

“Sejak belum berkahwin lagi, saya memang suka berkongsi aktiviti harian dan berharap ia boleh memberi inspirasi serta dilihat dari sudut yang positif.

“Janganlah salah anggap dan kata saya nak ‘show off’. Itu memang kehidupan sebenar saya, bukan dibuat-buat.

“Misalnya, saya memang tolak ‘stroller’ anak saya sendiri, bukan sekadar lakonan atau gaya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bersama Yayasan Nurjiwa anjuran Inayah Beauty yang berlangsung di sini, kelmarin.

Mengulas mengenai kehadiran jururawat peribadi yang membantu menjaga anaknya, Imane Lunara yang kini berusia tujuh bulan, Intan menjelaskan bahawa kemudahan tersebut disediakan oleh suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman, demi memastikan kebajikan mereka berdua terjaga.

“Alhamdulillah, suami yang ambil inisiatif menyediakan jururawat. Mungkin sebab dia tahu saya jenis yang mudah risau, jadi dia mahu mudahkan urusan saya dan pada masa sama menenangkan saya.

“Sebagai seorang ibu, sudah tentu saya mahu yang terbaik untuk anak saya. Tapi saya juga ingin tekankan, jika ada ibu lain yang tidak mempunyai pengasuh atau jururawat, jangan rasa diri kurang.

“Itu semua rezeki masing-masing. Yang penting, setiap ibu pasti mahu yang terbaik buat anak mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Intan turut mengulas mengenai pelbagai komen yang diterima di media sosial, termasuk kritikan dan kecaman daripada netizen.

Menurutnya, dia lebih memilih untuk memberi perhatian kepada perkara-perkara yang membina dan membawa aura positif dalam kehidupannya.

“Saya memang ikuti perkembangan di media sosial, dan sudah biasa kena kecam. Tapi saya ambil yang baik sahaja. Yang negatif saya tak ambil pusing, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

“Sekarang ini, saya hanya fokus pada perkara yang baik dan positif. Kalau kita nak hidup tenang dan bahagia, tak perlu fikirkan sangat pasal ‘haters’.

“Sebelum ini pun, kalau saya balas komen netizen, bukan dalam keadaan marah. Saya balas secara santai, bergurau. Kalau kita balas dengan emosi, kita pun akan jadi macam mereka,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, Intan sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Ahmad Azraf Azman pada 18 Ogos 2023. Pasangan ini kemudian dikurniakan cahaya mata perempuan yang diberi nama Imane Lunara pada 15 Disember tahun lalu.

Terdahulu, perkongsian Intan di laman Instagram yang memaparkan gaya hidupnya selepas berkahwin mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Ada yang mengagumi gaya hidupnya, tidak kurang juga yang menuduhnya cuba mempamerkan kemewahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN