Hafiz Suip beri bayangan tiada ruang kembali bersama bekas isteri - Utusan Malaysia

Hafiz Suip beri bayangan tiada ruang kembali bersama bekas isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Kami dah cuba, tapi mungkin ini yang terbaik.”

Demikian luahan penyanyi terkenal, Hafiz Suip yang secara terbuka memberi bayangan bahawa tiada lagi ruang untuk dia dan bekas isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah, kembali bersama selepas sah bercerai talak satu pada 29 Mei lalu.

Penyanyi itu menjelaskan bahawa kegagalan membina persefahaman menjadi antara punca utama keretakan rumah tangga yang telah dibina sejak sembilan tahun lalu.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi menyelamatkan perkahwinan tersebut, Hafiz mengakui reda bahawa perpisahan adalah pilihan yang paling rasional buat mereka berdua.

“Persefahaman itu penting sebenarnya. Tapi apa yang saya boleh katakan, kami sudah tidak ada kesefahaman itu.

“Kami berdua dah cuba, tetapi mungkin ini yang terbaik,” ujarnya ketika ditemui dalam sesi ramah mesra bersama media di Bienz, Wangsa Maju, di sini, semalam.

Selain itu, Hafiz atau nama sebenarnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 35, turut menegaskan bahawa keputusan untuk berpisah bukan dibuat secara tergesa-gesa.

Sebaliknya, jelas penyanyi ini, ia dibuat setelah mempertimbangkan pelbagai sudut demi kesejahteraan bersama, terutamanya anak-anak.

Sementara itu, mengulas mengenai status baharunya sebagai bapa tunggal, pelantun lagu Bahagiaku Deritaku itu mengakui bukan mudah melalui fasa kehidupan sendirian tanpa seorang isteri di sisi.

“Bukan senang memegang status bapa tunggal. Dengar macam senang, tetapi yang menghadapi ini hanya Tuhan saja yang tahu,”katanya.

Buat masa ini, hak penjagaan anak-anak diberikan kepada bekas isterinya berikutan dia percaya kasih seorang ibu adalah tempat terbaik untuk anak-anak berlindung dan membesar.

Untuk rekod, Hafiz dan Nureffy mendirikan rumah tangga pada 14 Mei 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayne, 5.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN