PETALING JAYA: “Kehilangan sahabat baik dalam perkahwinan, itulah titik paling rendah dalam hidup saya.”
Demikian luahan pelakon, Diana Danielle yang mengakui kehilangan sahabat baik yang sejiwa dengannya adalah perkara yang paling perit ditanggungnya.
Diana berkata, keperitan kehilangan sosok yang sering bersamanya sepanjang melayari bahtera perkahwinan itu juga lebih pahit dari sewaktu pemergian bapanya dan mengetahui ibu menghidap kanser.
“Kehilangan bapa saya adalah salah satu daripada pengalaman paling perit. Masa dapat tahu ibu menghidap kanser ketika saya berumur 12 tahun juga sangat menyedihkan.
“Bahkan momen kehilangan rumah tangga juga bukanlah titik terendah hidup saya,” katanya dalam sebuah program audio siar.
Gagal menahan air mata, ibu kepada dua cahaya mata itu juga mengakui sukar untuk menelan kepahitan yang ditanggung setelah menyedari dia bersama ‘sahabat baiknya’ itu tidak lagi sehaluan.
“Menerima kenyataan mungkin kita bukan lagi satu pasukan. Kita sudah tidak seiring dan tidak sejalan itu sangat sukar sampai sekarang.
“Saya rasa puncanya mungkin seiring waktu berjalan dan perlahan-lahan menyedari apa yang dahulu bukan yang sekarang.
“Ketika itu saya tidak tahu apa saya mahu dan perlukan, tapi lama kelamaan, kita sedar, kita bukan untuk satu sama lain. Tidak berada dalam satu muka surat lagi,” jelasnya.
Bagaimanapun, pelakon filem Imaginur itu tidak mendedahkan identiti yang digelar ‘sahabat baik’ dalam perkahwinannya.
Namun, rata-rata netizen menganggap gelaran tersebut ditujukan kepada bekas suaminya yang juga pelakon, Farid Kamil.
Untuk info, Diana dan Farid mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora.
Pasangan itu pernah bercerai kali pertama secara Google Meet pada 10 Ogos 2023, namun kembali rujuk selepas sebulan.
Kemudian, mereka disahkan bercerai talak satu buat kali kedua pada 23 Mac lalu selepas masing-masing bersetuju untuk berpisah secara baik.