PETALING JAYA – ‘Castles and Carriages’ sebuah single sulung seorang gadis yang dikenali sebagai Valerayy bakal menyentuh hati setiap pendengar.
Penyanyi dan penulis lagu baharu dari Malaysia yang bakal mencuri perhatian dengan lirik yang jujur dan bunyi yang penuh rasa diterjemahkan melalui muzik pasti membawa pendengar masuk ke dunia ‘lagunya’ dengan menyelami emosi, kisah dan keindahan. Ia adalah sebuah lagu yang indah namun sarat dengan kisah luka sekali gus menjadi pembuka jalan buat EP pertamanya yang berjudul Castles.
Valerayy atau nama lengkapnya Rachel V. Anthony dikenali dengan vokal lembut dan lirik yang penuh kejujuran, Valerayy membawa pendengar menyelami sisi paling rapuh dalam dirinya — bagaikan helaian dari diari peribadi.
“Ia satu pengalaman yang benar-benar saya nantikan. Rasa macam tak percaya saya dapat tulis dan nyanyi lagu saya sendiri untuk anda. Kadang-kadang rasa sunyi dan keraguan dalam diri tu datang, tapi sekarang saya belajar untuk terima bahawa itu semua perkara biasa,”
Gadis yang mempunyai impian besar ini berkongsi lagunya ini mencabar ilusi dongeng, dengan bijaknya membungkus patah hati dalam tajuk yang kelihatan indah dan bersifat fantasi.
“Saya memang mahu elemen dongeng dimasukkan dalam EP ini. Saya rasa seolah-olah tertipu untuk mempercayai watak ‘putera raja’ dan pengakhiran yang bahagia. Perkataan seperti ‘istana’ atau ‘kereta kuda’ memberikan gambaran yang penuh harapan, tetapi di sebaliknya tersembunyi kisah yang penuh kesakitan,” katanya.
‘Castles and Carriages’ bukan sekadar permulaan kerjaya Valerayy namun ia adalah pengenalan kepada seorang artis yang berani untuk menunjukkan sisi lembut di dunia yang sering menuntut kekuatan luar.
Dengarkan lagu sulung Valerayy, ‘Castles and Carriages’ di semua platform penstriman utama mulai 25 Julai ini.