Bina madrasah, saya buat demi penuhi hasrat ibu - Nabil Ahmad

Bina madrasah, saya buat demi penuhi hasrat ibu – Nabil Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Demi merealisasikan hasrat ibunya, pengacara dan penyampai radio popular, Nabil Ahmad mengakui sedang berusaha menyusun rancangan rapi bagi membina sebuah madrasah di rumah pusaka keluarganya di Mambau, Negeri Sembilan.

Menurut Nabil, anggaran kos pembinaan bagi madrasah tersebut menelan kos hampir RM500,000.

Katanya, keputusan itu dibuat bukan sahaja sebagai usaha memenuhi impian ibunya yang berusia 77 tahun, malah sebagai persiapan amal jariah demi bekalan akhirat.

“Ibu saya selalu tanya bila madrasah itu nak mula dibina. Sekarang ini dia sudah lapan tahun menjalani rawatan dialisis, dan dia risau sebab usianya makin lanjut.

“Dia mahu buat sesuatu untuk akhirat dan saya mahu bantu sempurnakan hajatnya.

“Impian saya, kalau boleh, saya mahu ibu lihat sendiri proses pembinaan madrasah itu. Kalau dipanjangkan umur, saya harap dia sempat saksikan pelajar-pelajar sudah mula menghuni madrasah itu,” katanya.

Nabil berkata demikian ketika ditemui di sidang media The Chosen One Xtra X Jutawan Ekspres yang berlangsung di Astro, Bukit Jalil, semalam.

Tambah Nabil, tanah peninggalan keluarga seluas hampir satu setengah ekar itu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi pembinaan madrasah lengkap dengan penempatan untuk pelajar tahfiz dan tenaga pengajar.

“Tanah itu saya akan guna sepenuhnya untuk bina madrasah. Kos dianggarkan dalam RM500,000 termasuk kemudahan tempat tinggal untuk ustaz, pelajar dan ruang mengaji untuk penduduk sekitar.

“Buat masa sekarang saya biayai sendiri, tetapi insya-Allah selepas ini saya akan buka kepada umum yang ingin menyumbang. Ramai juga yang sudah mesej beritahu mahu turut serta selepas saya war-warkan hasrat ini,” ujarnya.

Menurut Nabil, projek pembinaan madrasah itu dijangka bermula awal tahun hadapan.

Sebelum ini, Nabil berkongsi di media sosial menyatakan hasratnya mahu menjadikan rumah milik keluarganya sebagai madrasah.

Perkongsian Nabil menerima pelbagai reaksi positif yang rata-rata memuji pelawak itu serta mendoakan agar perancangannya berjalan dengan lancar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN