KUALA LUMPUR : Dunia seni hiburan Asia bakal menyaksikan kemunculan bakat baharu bertaraf antarabangsa menerusi penganjuran program realiti terbaharu, Asian Pop Stars (APS) 2025, yang bukan sahaja menjanjikan hiburan berkualiti tinggi, malah berhasrat melahirkan bintang pop dari rantau Asia ke pentas global.
Menariknya, tidak seperti kebanyakan program realiti sedia ada, APS 2025 mengambil pendekatan lebih progresif dengan memberikan peluang kepada semua lapan finalis menjalani latihan intensif dan persiapan khas meskipun pertandingan telah tamat.
Langkah ini diambil bagi memastikan momentum dan pengaruh finalis kekal relevan di persada seni hiburan.
Program yang diterbit dan dianjurkan buat julung kalinya oleh Pertubuhan Generasi Digital Malaysia (PGDM), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dilihat sebagai satu usaha berani dan luar biasa dalam memartabatkan bakat seni tanah air serta rantau Asia ke peringkat lebih tinggi.
Menurut Pengerusi PGDM, Datin Seri Dr. Harnie Mohamed, pihaknya amat berbesar hati kerana berpeluang menerajui penganjuran sebuah pertandingan realiti muzik berskala besar yang menyatukan bakat serantau.
“Kami menyahut cabaran ini demi mencungkil dan mengasah potensi luar biasa dalam kalangan anak seni, bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga dari seluruh Asia.
“Lebih membanggakan, kesemua lapan finalis akan menerima biasiswa khas pengajian seni persembahan selama satu bulan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), dan seterusnya dua bulan lagi di Korea Selatan, sebuah negara yang terkenal sebagai pusat industri hiburan pop Asia,” jelasnya.
APS 2025 akan menampilkan seramai 20 peserta terpilih dari seluruh benua Asia yang bakal mengikuti sesi latihan intensif serta persembahan mingguan selama lima minggu.
Menariknya, tiga minggu pertama bakal memperlihatkan persembahan tanpa penyingkiran, sebelum 12 peserta disingkirkan pada minggu keempat.
Lapan finalis yang berjaya akan mara ke Konsert Akhir yang dijadual berlangsung pada 3 Januari 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Penonton boleh mengikuti program ini secara langsung bermula 29 November 2025, setiap Sabtu jam 9.00 malam hingga 11.30 malam menerusi saluran nasional RTM.
Juara pertandingan bakal membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai bernilai USD20,000, piala pusingan serta sijil pengiktirafan.
Dalam majlis sama, PGDM turut mengumumkan pelantikan seniwati tersohor tanah air, Fauziah Ahmad Daud sebagai Pengetua APS 2025, dengan sokongan tenaga pengajar berpengalaman iaitu Isabella Soliano (vokal) dan Azmie Z. Abdden (koreografi).
Para peserta juga akan terlibat dalam program penjelajahan istimewa Cuti-Cuti Malaysia selama sembilan hari sempena promosi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Jelajah ini akan merangkumi sembilan negeri di seluruh negara dengan pelbagai aktiviti pelancongan dan kebudayaan yang dijangka turut meningkatkan imej Malaysia sebagai destinasi seni dan budaya serantau.
Maklumat lanjut mengenai Asian Pop Stars 2025 boleh diperoleh melalui laman sosial rasmi @asian.pop.stars serta laman web rasmi di https://asianpopstars.asia.