Seramai 25,000 lautan manusia membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memeriahkan festival muzik mega, Latihan Pestapora Malaysia 2025 yang julung kali diadakan di ibu negara pada Sabtu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata, kejayaan acara itu adalah bukti bahawa Malaysia mampu menjadi tuan rumah kepada festival antarabangsa berskala besar.
“Merealisasikan Latihan Pestapora di Malaysia adalah satu pencapaian besar. Ia bukan sahaja kejayaan produksi, tetapi juga simbol kejayaan budaya.
“Kami membawa satu IP (harta intelek) festival antarabangsa ke Malaysia dan berjaya membuka ruang untuk penonton tempatan dan luar negara menikmati pengalaman ini di tanah air sendiri,” katanya.
Membawa semangat Nusantara dan konsep ‘latihan’ menjelang edisi utama Pestapora Jakarta 2025 yang bakal berlangsung pada 5 hingga 7 September depan, festival ini berjaya menggabungkan barisan penyanyi dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia yang mewakili pelbagai genre seperti pop, rock, hip-hop, indie dan dangdut.
Biarpun mengekalkan semangat dan konsep asal Pestapora Jakarta, edisi Malaysia ini ternyata berjaya menampilkan keunikan dan kelainan tersendiri di samping mengetengahkan bakat baharu dan alternatif tempatan bersesuaian dengan citarasa rakyat Malaysia.
Menariknya, kumpulan lagenda Indonesia, Sheila On 7 mencuri perhatian ramai selepas kali terakhir muncul di Malaysia tujuh tahun lalu.
Mereka berjaya melepaskan rindu para peminat dengan membawakan rangkaian lagu ikonik seperti Dan, Melompat Lebih Tinggi, Sephia, Kita dan Sahabat Sejati.
Berikutan sambutan luar biasa daripada penonton, penganjur berhasrat mahu menjadikan Latihan Pestapora Malaysia sebagai acara tahunan.
Latihan Pestapora Malaysia 2025 menyajikan lebih 25 barisan persembahan di dua pentas utama iaitu “Main Stage” dan “Hingar Bingar” oleh: .Feast, Hindia, Nadin Amizah, Barasuara X Efek Rumah Kaca, Bittersweet, Bunkface, Dolla, Pamungkas, Feel Koplo, Kunto Aji, Salammusik, Sheila on 7, Alvn, Aziz Harun, DJ CZA, Dukes, Elva Suyan, Fahimi, Empty Page, Gaston Pong, Ismail Izzani, Julia Duclos, Killa Driz, Lil J, Naki, Sonaone dan Yonnyboii.