Yuna Rahim tak senang duduk tinggalkan kerjaya lakonan - Utusan Malaysia

Yuna Rahim tak senang duduk tinggalkan kerjaya lakonan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua tahun berehat dari industri seni demi membesarkan anak pertama, pelakon, Yuna Rahim mengakui dirinya tidak senang duduk meninggalkan kerjaya lakonan terlalu lama.

Yuna atau Shafiqah Husna Abdul Rahim, 30, berkata, dia bersyukur kerana memiliki ahli keluarga yang sangat memahami dan menyokong niatnya untuk kembali berlakon setelah sekian lama tidak muncul di kaca televisyen.

“Saya sejenis yang tak boleh duduk senang jika tidak bekerja. Apatah lagi jika tidak bekerja dalam tempoh yang agak lama.

“Ada sesetengah wanita dia tahu untuk seimbangkan kerjaya dan membesarkan anak. Tetapi, saya hanya seorang ibu yang tahu mencari duit sahaja.

“Saya bersyukur kerana dikelilingi keluarga dan mertua yang memahami kerjaya saya. Mereka juga yang akan mengambil alih untuk menjaga anak saya sekiranya ada penggambaran kerana saya tidak berani untuk hantar ke pengasuh,” katanya.

Tampil membuat kemunculan semula menerusi drama bersiri Lambaian Huda, Yuna mengakui dirinya berdepan dengan gangguan keresahan atau ‘anxiety’ sewaktu kembali semula ke set penggambaran.

“Selepas dua tahun tidak menjalani penggambaran, saya rasa seolah saya hilang diri saya sendiri. Saya jadi gelisah dan tidak pasti sama ada orang masih mahu melihat saya berlakon atau tidak.

“Saya juga seperti tidak tahu apa yang saya lakonkan untuk seseuatu babak itu betul atau tidak. Kalau tidak sebelum ini saya boleh lakukannya dengan mudah. Sekarang saya rasa macam baru belajar berlakon,” jelasnya.

Yuna berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sesi media dan Meet & Greet bersama pelakon drama Viu Lambaian Huda, baru-baru ini.

Ditanya mengenai cara dirinya menangani keresahan tersebut, Yuna memaklumkan dirinya tidak lagi mengambil minuman yang mengandungi kafein.

“Untuk menangani masalah itu, saya akan elak minum kopi kerana itu yang akan membuatkan saya rasa berdebar-debar.

“Saya juga akan pastikan saya sampai di lokasi penggambaran lebih awal supaya tidak tergesa-gesa dan membuat orang lain tidak suka dengan disiplin saya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN