PETALING JAYA: Menjelang usia 25 tahun, Shatirah Amanda tampil dengan single terbaru berjudul ‘Kasih Tersayang’ yang menonjolkan vokal unik serta ciptaan sendiri dari segi melodi dan lirik. Lagu ini menandakan kematangan seni dalam perjalanan kerjayanya.
Berlatar genre pop, ‘Kasih Tersayang’ menyampaikan makna kasih sayang ‘universal’ bukan hanya untuk kekasih tetapi juga keluarga, sahabat, dan haiwan peliharaan. Lagu ini menjadi cara Shatirah berkongsi rasa dan pengalaman bersama peminat setia.
Single ini sudah boleh dimuat turun di iTunes dan didengar di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, KKBox, Tidal dan Deezer sejak 5 Mei 2025. Ia adalah hasil inspirasi dan ciptaan Shatirah sendiri.
Menurutnya, lagu ini bertujuan mencabar stereotaip cinta yang sempit. Kasih sayang wujud dalam pelbagai bentuk dan bukan hanya soal romantik semata-mata, sejajar dengan kematangannya sebagai pencipta karya yang inklusif.
“Saya yakin dengan masa depan bersama SA International dan berazam menghasilkan karya bermutu tinggi yang relevan dengan industri muzik masa kini,” katanya.
Shatirah berkongsi, dia sangat teruja kerana ini adalah ciptaan pertamanya dan sedikit berdebar menanti maklum balas peminat muzik tempatan.
Walaupun sering menerima tawaran berlakon, termasuk drama popular ‘Bunga Salju’ dan ‘Bila Takdir Melarang Cinta’, dia memilih fokus sepenuhnya pada kerjaya nyanyian. “Saya tidak menolak lakonan, tapi fokus utama sekarang adalah membina nama sebagai penyanyi,” katanya.
Heroin filem ‘Marak’ dan Top 5 Dewi Remaja 2020 itu berharap lagu-lagunya kali ini diterima baik dan membuka peluang, termasuk untuk menembusi pasaran antarabangsa kelak.