Semakin pulih, Mamat kini bagai ikon penghuni Pengasih - Ajai Exist - Utusan Malaysia

Semakin pulih, Mamat kini bagai ikon penghuni Pengasih – Ajai Exist

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Vokalis kumpulan Exists, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, kini menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani rawatan pemulihan di Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Bentong, Pahang.

Perkara itu disahkan oleh anggota Exist dan komposer terkenal, Ajai, yang memaklumkan
Mamat kini dalam fasa persediaan untuk kembali aktif bersama rakan-rakan Exist lain.

“Kesihatan Mamat semakin baik dan kami dimaklumkan oleh warden di sana bahawa dia kini menjadi ikon kepada penghuni lain di Pengasih.

“Proses pemulihan itu datang daripada keazaman dan keikhlasan dirinya sendiri.

“Kami sebagai rakan seperjuangan terus memberi sokongan dan doa agar dia kembali bangkit seperti dahulu,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Konsert Exists Premium Live @ PJ di IOI City Mall, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Ajai memaklumkan, Exists bersetuju untuk ‘menyimpan’ Mamat bagi satu projek khas reunion Exists yang dijadualkan berlangsung tahun hadapan.

“Walaupun kami simpan Mamat untuk projek khas itu, dia tetap turut serta dalam beberapa persembahan kecil termasuk baru-baru ini di Kelantan.

“Ia sebagai satu bentuk pemanas badan buat Mamat sebelum kembali beraksi di pentas berskala besar,” ujarnya.

Untuk rekod, Mamat telah hampir setahun menjalani rawatan dan pemulihan di Pengasih susulan isu penyalahgunaan dadah.

Pada 2019, Mamat pernah berdepan dua pertuduhan berkaitan pengambilan dadah, namun berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 8 Julai tahun lalu.

Sementara itu, Konsert Exists Premium Live @ PJ akan berlangsung di Jio Space, Petaling Jaya, Selangor pada 4 Oktober depan.

Tiket boleh dibeli menerusi laman web Jiotix Asia dengan harga bermula RM368 hingga RM588.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN