Sekarang bukan masa untuk saya ‘down’ lagi - Aina Abdul - Utusan Malaysia

Sekarang bukan masa untuk saya ‘down’ lagi – Aina Abdul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer popular, Aina Abdul, mengakui kini tidak lagi mahu membelenggu dirinya dengan rasa kecewa pasca Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) tahun lalu.

Kata Aina, dia sebaliknya memilih untuk melangkah ke hadapan dengan semangat baharu dan perancangan lebih matang dalam kerjaya seninya.

Menurut Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, itu juga menjadi punca mengapa dia banyak berulang-alik antara Malaysia dan Indonesia dalam usaha meneruskan perjuangan muziknya.

“Mestilah saya pergi ke sana itu bersebab dan penuh pengharapan. Saya banyak berjumpa dengan orang baik-baik di sana yang nak bekerja dengan saya, yang nak menulis untuk saya, yang nak menulis dengan saya termasuk yang ingin mendengar idea saya.

“Jadi, saya ingin bertukar angin sebab lepas AJL tu, saya down sikit kan.

“Sekarang, bukan masa untuk saya down lagi. Sekarang ini kena kerja. Jadi, di sanalah saya menuju. Saya bertemu dengan harapan yang baharu untuk saya. Itu sebabnya saya kerap ke sana,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Aina berkata pertemuan dan perbincangan bersama rakan-rakan industri muzik di Indonesia bukan sahaja memberinya inspirasi, malah membuka ruang untuk kolaborasi lebih meluas.

“Terus terang saya katakan, saya banyak sangat belajar daripada mereka sepanjang beberapa kali saya ke Jakarta. Saya rasa macam saya berjumpa dengan kembar saya dekat sana sebenarnya, tapi dari sudut penulisan lagu.

“Saya terkejut juga kerana walaupun saya kagum dengan karya mereka, rupanya mereka juga tahu dan dengar lagu serta album saya,” ujarnya.

Menurut Aina, pengalaman itu turut mengajarnya untuk lebih terbuka menerima idea serta penulisan orang lain dalam karya muzik yang bakal dilancarkan, sekali gus menjadikan proses penghasilan lagu lebih segar dan bersifat dua hala.

“Saya terpanggil untuk buka hati saya untuk menerima penulis-penulis ini dalam hidup saya. Apa yang saya belajar adalah, pada akhirnya, ia bergantung kepada bagaimana kita menyampaikan sesebuah lagu dan mesej yang terkandung di dalamnya.

“Kita semua pernah rasa rendah dan tinggi, jadi itu yang saya cuba sampaikan dalam lagu-lagu saya,”katanya.

Jelas Aina lagi, meskipun karya terbaharunya nanti bukan sepenuhnya hasil tulisan sendiri, dia percaya bahawa setiap lagu yang dinyanyikannya akan mempunyai sentuhan peribadi tersendiri.

“Mungkin kali ini, lagunya datang daripada komposer di sana. Mungkin bukan 100 peratus tulisan saya, tapi tidak mengapa. Saya yang menyampaikan lagu itu,”ujarnya.

Dalam pada itu, Aina turut berterima kasih kepada semua rakan industri di Indonesia yang telah memberikan maklum balas positif terhadap bakat dan potensinya untuk pasaran lebih luas.

“Saya tak boleh kongsikan secara terperinci siapa yang saya jumpa, tapi semua yang saya temui setakat ini memberi saya maklum balas yang sangat baik. Alhamdulillah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN