Saya adalah diri saya, syarikat itu entiti berasingan - Fazura - Utusan Malaysia

Saya adalah diri saya, syarikat itu entiti berasingan – Fazura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Terpalit dengan dakwaan mengenai hutang syarikat pembekal tudung bernilai RM4.65 juta, pelakon dan usahawan selebriti popular, Nur Fazura, memilih untuk tidak mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Sebaliknya, kata Fazura, dia sudah pun menyerahkan perkara itu kepada pihak peguam untuk diselesaikan mengikut saluran undang-undang.

“Saya rasa, tak perlu saya jelaskan lebih-lebih. Sebab kalau pun saya jelaskan, belum tentu orang akan faham. Jadi, cukup sekadar memahami bahawa saya adalah diri saya, dan syarikat itu entiti berasingan.

“Perkara ini juga adalah sulit. Saya tak perlu nak perjelaskan dan saya rasa memang tak perlu pun.

“Sebenarnya, banyak pihak di luar sana membuat spekulasi, dan mungkin juga ada yang menabur fitnah di merata tempat,”katanya.

Ditanya sama ada isu tersebut memberi kesan terhadap reputasi dan perniagannya, Fazura mengakui perkara itu.

Bagaimanapun, Fazura lebih selesa bersikap positif selain menyifatkan ujian seperti ini umpama asam garam dalam perniagaan.

“Lapan bulan kebelakangan ini, macam-macam yang saya lalui. Jadi, kalau ditanya sama ada saya terkesan, sudah tentu sedikit sebanyak saya rasa juga.

“Saya pun manusia biasa yang ada perasaan.
Tapi saya faham, itu adalah perkara biasa dalam dunia perniagaan.

“Sebagai seorang ahli perniagaan wanita, inilah realiti yang kita kena tempuh. Hanya yang pernah berniaga sahaja akan faham perkara-perkara seperti in,”katanya.

Dalam pada itu, demi menjaga kesihatan mental, Fazura juga enggan membaca sebarang komen negatif di media sosial.

“Terua-terang, saya memang tak baca media sosial, tak tengok TikTok. Tapi sekarang saya ada tengok Threads.

“Alhamdulillah,semuanya bermula daripada peminat juga. Orang tag di Threads, jadi saya masuk. Saya rasa, Threads ini sangat positif. Memang saya aktif di situ. Tapi Facebook, apatah lagi TikTok, saya memang jarang tengok sekarang.

“Komen-komen pun saya tak baca. Malah, orang sekeliling saya pun tahu, mereka tak berikan sebarang info kepada saya sebab saya tak nak tahu.

“Saya memang menjaga kesihatan mental saya. Saya nak hidup dengan tenang. Saya nak gembira, dan saya nak terus fokus kepada kerjaya, perniagaan dan membesarkan anak saya.

“Anak saya, dialah permata hati saya. Jadi, itulah yang paling penting dalam hidup saya sekarang. Apa-apa berita, gosip, atau fitnah, saya memang tak ambil tahu. Alhamdulillah, saya tenang dan ingin terus begini,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan syarikat pengilang tudung milik Obor Holding iaitu Feline Malaysia mendedahkan syarikat milik Fazura berhutang hampir RM4.65 juta.

Obor Holding Sdn Bhd selaku pemilik kilang Feline Malaysia mendakwa syarikat Pink Fate Sdn. Bhd. yang diketahui umum sinonim dengan Fazura selaku pengasas bersama (co-founder) telah dibekalkan tudung dengan nilai RM7.3 juta sejak Jun 2022.

Namun Pink Fate hanya membayar RM2,680,167.90 dari jumlah tersebut sekali gus masih berhutang sebanyak RM4.65 juta kepada pihak Feline.

Obor Holding turut mendakwa pihaknya mula berdepan kesukaran untuk mengutip bayaran sejak Disember 2023.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN