Perang dunia ketiga bukan satu jenaka, Malia Baby tegur generasi muda - Utusan Malaysia

Perang dunia ketiga bukan satu jenaka, Malia Baby tegur generasi muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon dan pempengaruh media sosial, Malia Baby, memberi teguran tegas terhadap sikap sebahagian generasi muda yang dilihat tidak sensitif dan gemar membuat gurauan mengenai isu-isu berat seperti ancaman Perang Dunia Ketiga di media sosial.

Dalam satu hantaran video yang tular di platform media sosial, Malia atau nama sebenarnya, Tengku Nur Kamalia Aisyah Tengku Norkamarulhaizan, meluahkan rasa kecewanya terhadap sikap acuh tak acuh segelintir netizen yang menganggap ketegangan isu global sebagai sesuatu yang boleh dianggap gurauan.

“Ada yang anggap gurauan itu macam ‘slay’dan melucukan, malah ia dijadikan bahan jenaka dalam bentuk get ready with me dan dialog seperti ‘nak pakai baju apa pergi perang?’.

“Perang dunia tak kelakar. Saya takut, tapi saya lebih takut tengok komen-komen lelaki dan perempuan yang buat lawak macam ini satu benda yang kelakar sangat,” tegasnya.

Pelakon drama Bidaaah ini turut menyentuh tentang ketidakpekaan masyarakat yang mudah terikut-ikut dengan trend di media sosial luar, tanpa memahami kesan dan impaknya terhadap negara sendiri.

“Meskipun konflik berlaku jauh dari tanah air, Malaysia tetap akan terjejas teruk sekiranya krisis antarabangsa ini berlanjutan.

“Malaysia ini negara kecil. Kalau dunia berperang, kita akan sangat terkesan. Negara kita banyak bergantung pada import, makanan, ubat-ubatan. Barangan itu semua akan jadi sesuatu yang ‘jarang’ didapati, harga barang akan naik melambung.

“Malah,kemungkinan kejatuhan ekonomi yang bakal menjejaskan kehidupan rakyat secara menyeluruh, dari makanan asas, harga petrol sehinggalah kestabilan mental dan keselamatan dalam negara.

“Jenayah akan naik, kestabilan sosial runtuh. Bila ekonomi runtuh, otak manusia pun runtuh,”katanya.

Selain itu, menerusi video berdurasi hampir enam minit itu, Malia turut menegur soal kesedaran rohani, mengingatkan generasi muda untuk lebih prihatin terhadap keadaan dunia dan tidak lalai dengan hiburan semata-mata.

“Kalau keruntuhan dunia ini tak buat kita insaf, tanya balik, apa yang ada dalam hati dan jiwa kita?”nasihatnya.

Meneliti ruangan komen, rata-rata pengikutnya menyambut baik kenyataan peribadinya itu dan memuji keberaniannya menyuarakan pandangan secara terbuka berhubung isu global.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN