Mahu ‘panas badan’ sebelum konsert berskala besar kami - Masdo - Utusan Malaysia

Mahu ‘panas badan’ sebelum konsert berskala besar kami – Masdo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kugiran 60-an moden sensasi tanah air, MASDO, bakal menghangatkan pentas Festival Muzik OOO 2025 sebagai sebahagian daripada acara ‘panas badan’ mereka menjelang konsert berskala besar pada 30 Ogos ini.

Menurut Ali, mewakili dua lagi anggota Masdo iaitu Ceri dan Mawi, penyertaan mereka dalam festival ini bukan sahaja sebagai pengisi acara, malah sebagai pemanas enjin sebelum menyambut satu dekad penglibatan mereka dalam industri muzik tempatan.

“Sebenarnya ada yang menarik perhatian kami untuk menyertai Festival Muzik OOO 2025! Barisan artis yang terlibat sangat hebat dan masing-masing mempunyai pengaruh tersendiri dalam industri. Rugi kalau kami tak turut serta.

“Kami anggap ini acara ‘panas badan’ sebelum ‘berperang’ dengan konsert solo kami pada 30 Ogos nanti.

“Insya-Allah ada kejutan yang akan kami umumkan kepada peminat yang hadir,” katanya.

Festival Muzik OOO 2025 yang julung kali dianjurkan ini merupakan kerjasama antara OPPO dan Warner Music Malaysia, dan akan berlangsung pada 1 Julai 2025 di Heritage Valley, Kuala Lumpur.

Bermula jam 6 petang hingga 11:30 malam, festival ini menyajikan gabungan muzik pop, hip-hop, indie dan rock yang menampilkan nama-nama besar seperti Noh Salleh, Bunga, Luqman Podolski, Zynakal, TUJU, Naki, emptypage., Iman Troye, FUGŌ, Jo Vynn, Priscilla Abby dan Steadygang, selain Masdo sendiri.

Festival ini turut menandakan pelancaran rasmi siri baharu OPPO Reno, yang menggabungkan muzik, gaya hidup dan teknologi dalam satu sambutan dinamik.

Menariknya, OPPO juga bekerjasama dengan Proton e.MAS bagi menerbitkan siri kandungan digital istimewa bertajuk Roda Karaoke, menampilkan artis-artis festival seperti MASDO, Bunga, Noh Salleh dan FUGŌ dalam format carpool karaoke yang mencuit hati.

Pengarah A&R Warner Music Malaysia, Raqeem Brian, menyifatkan penganjuran festival ini sebagai satu bentuk penghargaan kepada bakat tempatan serta peluang untuk menyatukan peminat dan artis dalam suasana penuh kreativiti dan inovasi.

“Festival Muzik OOO 2025 bukan sekadar konsert, ia satu sambutan budaya yang menyatukan orang ramai melalui muzik dan teknologi,” katanya.

Selain persembahan muzik bertaraf dunia, para pengunjung juga boleh menikmati pelbagai aktiviti menarik termasuk gerai makanan dan minuman serta pameran interaktif jenama-jenama terlibat termasuk peluang melihat dengan lebih dekat kereta konsep Proton e.MAS di booth khas mereka.

Dengan hanya RM50, para peminat dijemput menyertai malam penuh semangat dan warna-warni ini bersama Masdo dan barisan artis tempatan yang paling berpengaruh masa kini di Festival Muzik OOO 2025.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN