Ditidurkan, Sheqal masih dipantau di hospital - Utusan Malaysia

Ditidurkan, Sheqal masih dipantau di hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi yang terkenal dengan lagu berentak nusantara, Sheqal, dikhabarkan telah ditidurkan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan sejak Khamis akibat mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

Perkara itu disahkan oleh isterinya iaitu Normah Mohd Yusoff, 58, yang memberitahu tahap oksigen penyanyi itu menurun sehingga 62 peratus sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Suami saya dimasukkan ke hospital pada petang Khamis. Saya hubungi ambulans dan bila diperiksa, oksigennya menurun disebabkan itu dia dibawa terus ke hospital.

“Pernafasannya tak stabil dan doktor nasihatkan dia ditidurkan kerana ada jangkitan kuman di paru-paru dan juga paru-paru berair,” katanya.

Dalam pada itu, Normah memaklumkan bahawa keadaan terkini Sheqal sudah bertambah baik namun penyanyi berkenaan masih belum sedarkan diri.

“Air sudah dibuangkan dan kemudian doktor nak pantau penyakit lain kerana kemungkinan ada lain yang perlu diperiksa. Malam tadi saya difahamkan doktor sudah buat CT Scan.

“Setakat pagi ini (Sabtu) masih lagi ditidurkan.
Doktor pun tak pasti bila nak disedarkan. Tapi Alhamdulillah semalam oksigen sudah naik dan dia masih dalam pemantauan,” ujarnya.

Untuk rekod, Sheqal atau Shahrin Salehuddin, 59, sebelum ini berdepan dengan masalah kesihatan termasuk diserang angin ahmar sebanyak empat kali sejak 2020.

Penyanyi lagu Cinta Nusantara ini turut menghidap penyakit buah pinggang tahap empat dan kini menggunakan kerusi roda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN