SHAH ALAM: Didakwa sudah bertunang dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, penyanyi dan selebriti media sosial terkemuka, Bella Astilah, 32, bagaimanapun tidak mengesahkan atau menidakkan khabar angin tersebut.
Pun begitu, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, mengakui akan memaklumkan perkara tersebut apabila masanya telah tiba.
“Astaghfirullahalazim, sekarang fokus saya untuk anak-anak.
“Apa-apa nanti saya beritahu,”katanya ketika ditemui di Majlis Roadtour Skor A+ SPM 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.
Sementara itu, Syed Saddiq, apabila diajukan pertanyaan tersebut hanya menyatakan persetujuannya dengan sebarang kenyataan daripada Bella.
“Apa yang dikatakan oleh Bella, saya kekalkan jawapan tersebut. Dalam bab ini, doakan sahaja.
“Mengenai kisah peribadi, kehidupan saya rasa lebih baik kekalkan dalam keluarga supaya kami berdua dapat fokus dalam kerjaya masing-masing.
“Hal peribadi adalah hal peribadi dan hal untuk umum adalah hal umum. Kami pun ada tanggungjawab masing-masing,”katanya.
Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa Bella dan Syed Saddiq telah bertunang secara senyap-senyap.
Terdahulu, pasangan ini mengundang bualan ramai kalangan warganet dan peminat apabila saling berhubungan rapat umpama merpati dua sejoli.
Mereka juga pernah bekerjasama menjayakan kempen jenama pakaian tempatan.
Saddiq juga membuat penampilan dalam video muzik lagu Tapi Bukan Denganmu nyanyian Bella.
Hubungan mereka juga mencetuskan rasa gembira di kalangan peminat sehingga ada yang menggelar mereka dengan kata singkatan BASS.