KUANTAN: Bekas model, Zahnita Wilson nekad meneruskan perceraian dengan suaminya, Abd. Zackery Ghouse, 47, kerana merasakan kedua-dua mereka tidak lagi boleh hidup bersama sebagai sebuah keluarga seperti mana sebelum ini.
Zahnita ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Syariah Kuantan di sini berkata, walaupun masih dalam proses perbicaraan, keputusan itu muktamad dan tidak mahu menoleh ke belakang.
“Tak boleh dah, orang dah tak nak dengan kita tak ada pujuk apa-apa, so i want to move on with my life.
“Dah tak boleh hidup bersama,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Syariah Kuantan di sini hari ini.
Prosiding hari ini bagi melihat keputusan pelantikan hakam, Mohd. Julian Hussein Wilson Hussein yang mewakili Zahnita dan Parwish Mohd Yusof bagi mewakili Abd. Zackery.
Selain itu mahkamah turut membenarkan permohonan Zahnita untuk menghalang sebarang kenyataan media berkaitan dengan anak-anaknya serta membenarkan bekas model itu mengambil barang peribadi beliau dari rumah suaminya.
Peguam kepada Zahnita, Nur Ashikin Abdul Rahim berkata, kes perceraian Zahnita dengan Abd. Zackery diteruskan dan masuk ke peringkat akhir iaitu pelantikan hakam panel.
Katanya, hakam keluarga gagal mendamaikan kedua pasangan itu dalam tempoh diberikan menyebabkan Hakim Mohamad Fahmi Abdul Jalil menamatkannya pada hari ini dengan melantik hakam panel pada 20 Jun depan.
“Hakam panel ini akan bermesyuarat dan hasil daripada mesyuarat itu pada tarikh lain hakam panel akan membuat keputusan cara bagaimana kes akan diselesaikan dan sekiranya bercerai apakah bentuk cerai yang berlaku,” katanya.
Terdahulu, Zahnita pada 2 Disember tahun lalu berkongsi foto dalam Instagram memaparkan bahagian mata kirinya dalam keadaan lebam.
Dakwa aktres berkenaan, punca kecederaan tersebut adalah disebabkan dibelasah oleh suami sendiri selain mengatakan Abd. Zackery mempunyai hubungan dengan wanita lain.
Susulan itu, pada 4 Disember 2024, Abd. Zachery didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan atas dua tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isteri dan dadah. Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.
Zahnita kemudiannya nekad memfailkan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan pada 3 Disember tahun lalu.
Kemudian pada Mac lalu, Abd. Zackery memaklumkan mahkamah menggugurkan tuduhan dirinya daripada dakwaan mendera empat anaknya selain mendapat hak lawatan dan bermalam.
Abd. Zackery mendirikan rumah tangga dengan Zahnita pada 2005. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Zahrafeena, 18, Zasharayna Ghouse, 13, Zahlia Syawwal, 8 dan Abd Zayden Ghouse, empat tahun. – UTUSAN