JAKARTA – Komposer terkenal Yovie Widianto dan Tiara Andini berkolaborasi semula dalam lagu Tanpa Cinta, sebuah lagu tentang perasaan terluka kerana cinta tidak berbalas.
Lagu ini diterbitkan semula dengan sentuhan yang lebih segar di bawah Universal Music Indonesia.
Menurut Yovie, dia memilih Tiara untuk versi terbaru kerana suaranya yang penuh emosi.
“Saya memang sangat sukakan lagu ini. Jadi apabila ada pelawaan untuk kolaborasi, saya tidak berfikir panjang untuk menerimanya. Tambahan pula ini karya daripada papa Yovie. Walaupun ada cabaran tersendiri, saya amat berpuas hati dengan hasilnya,” ujar Tiara Andini.
Susunan muzik masih mengekalkan elemen asal, namun dengan melodi yang lebih manis dan moden, manakala video muzik diarah oleh Prialangga yang berkonsepkan teaterikal.
Yovie berharap karya ini akan dinikmati bukan hanya oleh generasi lama, tetapi juga mereka yang sedang menghadapi kisah cinta masa kini. Tanpa Cinta kini boleh dinikmati di semua platform digital.