PUTRAJAYA : Pelakon, Nas Muammar Zar, menegaskan bahawa seluar dalam yang dijadikan sebagai sebahagian kostum watak Keluang Man di dalam filem terbitan Astro Shaw itu merupakan pakaian yang masih baharu dan bukan terpakai.
Berkongsi kisah lucu itu, kata Nas dia perlu menjelaskan perkara ini kepada umum kerana bimbang andai ada penonton dan peminat terfikir bahawa dirinya tergamak menggunakan seluar dalam terpakai sebagai kostum Keluang Man.
“Saya nak beritahu itu adalah seluar dalam baharu, kena cakap nanti ada yang tanya itu seluar dalam bila.
“Seluar baru dibeli dan masih di dalam kotak untuk kegunaan dalam filem itu. Ia tak pernah lagi dipakai dan memang baharu.
“Ia hanya dipakai di kepala untuk watak Keluang Man sebelum punyai kostum khas ya!”jelasnya.
Nas berkata demikian semasa ditemui di Tayangan Perdana filem Keluang Man yang berlangsung di IOI Mall, di sini, semalam.
Selain itu, jelas Nas, kostum itu terlalu lucu sehingga menyebabkan kru-kru produksi juga terhibur semasa dia mengenakannya di kepala.
“Saya sendiri bila pakai, saya rasa macam betul ke ini? Tapi bila saya bawa keluar karakter itu depan kru-kru semua, mereka ketawa.
“Saya kata kepada mereka, kita kena fokus jangan gelak, kita nak shoot ini. Lama-lama baru mereka okey sebab dah biasa tengok saya pakai seluar dalam dekat muka demi Keluang Man,”katanya.
Pada masa yang sama, kata Nas, dia juga sukar menukar kostum pada waktu rehat dan perlu kekal mengenakannya sepanjang berada di set.
“Tapi kadang-kadang mereka tak boleh nak tahan gelak sebab ada beberapa bahagian apabila saya nak makan, saya terpaksa selak di bahagian mulut sebab nak cepat.
“Sebab kalau nak buka semua memang renyah, seluar dalam itu diikat dengan menggunakan getah, seluar itu pula bersaiz besar.
“Seluar dalam itu bukan ikut saiz pinggang saya ya, tetapi ‘oversize’ kerana nak ikut size kepala jadi diikat pakai getah, kemudian pakai pula tudung ‘instant’.
“Nak pakai benda itu memang ambil masa, jadi alang-alang waktu rehat itu saya selak sahaja di bahagia mulut,” ujarnya.
Filem ‘live-action’ Keluang Man merupakan adaptasi daripada siri animasi popular yang diperkenalkan pada akhir era 1990-an dan berjaya mencipta fenomena tersendiri serta menjadi kebanggaan Malaysia.
Filem ini diterbitkan oleh penerbit terkemuka, Astro Shaw dengan kerjasama GSC, Idea River Run dan rakan strategik Wonda Kopi, serta produksi Pasal Productions.
Menampilkan pelakon hebat Nas Muammar Zar, Datuk Remy Ishak, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Anwaar Beg Moghal, Halim Othman, Amelia Henderson, Sham Sunder, dan Dennis Yin.
Keluang Man diarahkan oleh pencipta bersama trilogi filem Polis Evo, penulis Kahar : Kapla High Council serta merupakan pengarah dan showrunner drama premium popular Projek: High Council dan Projek: Anchor SPM, Anwari Ashraf yang turut bertindak sebagai penulis skrip.
Naskhah ini menandakan kemunculan pertama Anwari sebagai pengarah filem.
Tiket filem Keluang Man boleh dibeli bermula 21 Mei di pawagam seluruh negara.