KUALA LUMPUR : Penyanyi, Datuk Nora Ariffin mengakui kesal dengan tindakan spontannya sendiri semasa suami, Dr Rushdi Ramli, menzahirkan hasrat untuk tidak melepaskannya dalam sebutan pertama kes penceraian mereka pada 6 Mei lalu.
Menurut Nora, 51, hanya setelah ia terjadi, dia baharu sedar bahawa tindakannya itu akan menimbulkan pelbagai tanggapan daripada orang ramai selain mengakui dia tidak sepatutnya berbuat demikian.
“Apabila suami tolak permohonan cerai, saya terkejut. Jadi bila ditanya saya secara spontan sebut ‘sayang juga dia pada saya’.
“Saya tahu tidak sepatutnya berkata begitu. Itu bukannya perasaan seronok, tetapi kelemahan saya ialah bercakap spontan.
“Selepas kejadian itu saya tertanya sendiri kenapa bercakap begitu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single baharu Putri Dahlia dan Zaki Yamani di Puchong, baru-baru ini.
Selain itu, jelas Nora, sebelum perbicaraan berlangsung dia sudah bersedia sekiranya suami melafazkan talak secara baik di hadapan hakim.
Malah dia sendiri meminta agar Rushdi memberikan kerjasama baik sepanjang proses penceraian mereka.
“Sebelum kejadian dia tidak berkata apa-apa, tapi saya cakap elok-elok mahu selesaikan perkara ini secara baik.
“Saya tidak mahu bergaduh, minta dia datang dan permudahkan urusan. Saya juga sudah minta maaf pada dia.
“Sebelum masuk mahkamah pun perasaan saya sudah 70 peratus bersedia untuk dilafaz cerai. Kita kena bersedia sebab takut pengsan. Jadi saya terkejut dengan keputusan dia,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Nora berkata, dia kini kembali menjalani rutin harian seperti biasa selain menunggu tarikh 4 Jun sebagai sebutan kedua kes perceraian mereka.
Penyanyi ini juga enggan terlalu terbeban berfikir tentang hal berkenaan dan bersedia dengan sebarang kemungkinan.
“Alhamdulillah, saya kembali macam biasa. Semua okay dan dipermudahkan. Saya tak serabut sebab sudah tahu proses apa akan jadi dan hanya tunggu tarikh mahkamah.
“Terlalu berfikir pun tak guna sebab sudah tahu arahnya. Saya tidak akan menarik balik fail penceraian itu jadi tunggu saja tarikh dan langkah seterusnya,” jelasnya.
Kisah rumah tangga Nora sebelum ini menjadi perhatian apabila dia membuat permohonan cerai terhadap Dr Rushdi dan kes mereka masih dalam perbicaraan mahkamah.
Untuk rekod, Nora mengumumkan perkahwinannya dengan Rushdi pada 2021.
Kontroversi perkahwinan pasangan ini timbul apabila Nora memuat naik video Rushdi menceraikannya pada Ogos tahun lalu.
Namun selepas sebulan mengumumkan penceraian itu, penyanyi berkenaan memaklumkan dia dan suami sudah kembali rujuk.
Sebelum itu, Nora berkahwan dengan Johan pada 1992 dan mereka dikurniakan empat orang cahaya mata.
Allahyarham meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung.