PETALING JAYA – Terciptanya lagu ‘Lebih Indah Berpisah’ hasil kolaborasi istimewa antara komposer dan pemuzik terkenal Indonesia, Ade Govinda bersama penyanyi, Bella Astillah.
Lagu yang penuh makna mendalam berkisarkan keberanian melepaskan demi kebahagian yang membawa kisah tentang kekuatan hati untuk merelakan cinta yang tidak lagi dihargai bagi membuka lembaran hidup yang lebih indah.
Bella atau nama lengkapnya Dayang Nabellah Awang Astillah berkata lagu ini merupakan karya yang sangat istimewa buat dirinya.
“Bermula daripada cadangan tajuk yang asalnya sedikit berbeza, akhirnya saya dan Ade sepakat untuk memilih perkataan indah sebagai teras utama judul ini, mencerminkan sisi positif daripada sebuah perpisahan,”
“Lagu ini ditulis dengan penuh jiwa dan semangat oleh Ade, menggambarkan keberanian untuk berpisah dengan penuh keikhlasan,” katanya.
Bella, 31, berkata bekerjasam dengan Ade dan pasukannya merupakan satu kenangan yang sangat berharga dan tidak dapat dilupakan kerana bagi gadis bertubuh kecil itu, mereka sangat menghormati bakat, masa dan orang lain tanpa memandang siapa individu tersebut.
“Sewaktu proses rakaman, suasana di studio sangat positif dan penuh sokongan. Ini menjadikan pengalaman rakaman bebas tekanan. Malah, dengan semangat dan sokongan mereka, saya rasa lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik,” ujarnya.
Anak kelahiran Sabah itu berharap karya barunya itu mampu memberikan kekuatan kepada mereka yang sedang berhadapan dengan kesedihan dalam kehidupan percintaan mereka.
Sementara itu, Ade berkata lagu ini bukan sekadar sebuah melodi, tetapi membawa mesej bahawa berpisah bukanlah sebuah kegagalan, namun satu Langkah berani menuju kehidupan yang lebih indah, berbanding terus berjuang seorang diri dalam hubungan yang tidak seimbang.
“Jika cinta anda tidak dihargai, semoga lagu ini memberi keberanian untuk mengambil keputusan yang tepat. Kehidupan selepas berpisah boleh menjadi jauh lebih indah daripada apa yang kita bayangkan,” katanya.
Berkongsi tentang kerjasama bersama Bella, Ade meluahkan rasa kagum terhadap tahap profesionalisme artis muda ini.
Lagu ‘Lebih Indah Berpisah’ kini boleh didengarkan di semua platform digital dan video muzik rasmi turut dilancarkan di YouTube hari ini.