Petaling Jaya – Konsert MeleTOP TVS bertemakan “Nang Champiyen, Nang Legend” berlangsung meriah di Stadium Tertutup Miri dengan kehadiran ribuan peminat dari serata Borneo, termasuk Brunei dan Kalimantan. Buat julung kali dianjurkan di luar Lembah Klang, konsert ini adalah hasil kolaborasi Astro dan TVS.
Disiarkan secara langsung menerusi TVS, Astro Ria, Astro GO dan Sooka, malam tersebut turut dihadiri Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang. Persembahan pembukaan menampilkan Sada Borneo dan Dion Das, diikuti Mimifly dan Stacy dengan lagu seperti “Abracadabra” dan “Menyala”.
Wani Kayrie bersama Noki memukau penonton menerusi “Original Sabahan” dan “Not Like Us” yang menyemarakkan semangat anak Borneo. Dayang Nurfaizah menerima “Anugerah Khas Borneo MeleTOP” atas sumbangannya dalam industri muzik, disampaikan oleh pihak pengurusan TVS.
Dayang meneruskan persembahan dengan lagu solo “Seandainya Masih Ada Cinta” dan duet bersama Hael Husaini menerusi “Haram”. Turut memeriahkan pentas ialah Hairee Francis, Marsha Milan dan Nadeera yang semakin dikenali selepas AJL39.
Konsert ditutup meriah oleh Dolla, manakala hos MeleTOP seperti Nabil Ahmad, Hawa Rizwana dan Sherry Alhadad bergandingan bersama Cheryl Toh, Fattah Bolh dan Ghaz Zawawi dari TVS.
Susulan kejayaan ini, Konsert Berkat Gawai-Kaamatan akan berlangsung pada 21 Mei 2025, turut diadakan di Stadium Tertutup Miri. Menampilkan Ella, Bob Yusof, Velvet Aduk, Marina Jara dan ramai lagi, tiket percuma telah habis ditempah namun masih boleh didapati di laman web TVS atau di pintu masuk.
“Miri adalah pintu masuk ke utara Sarawak dan sangat dekat dengan Brunei, Sabah dan Kalimantan. Ulang tahun ke-20 Miri sebagai bandaraya adalah masa terbaik untuk meraikan rakyat dan budaya kita dalam skala besar,” kata En. Mohamad Sardon Zainal, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS.