Kadang-kadang saya pun lupa siapa saya - Nora Ariffin

Kadang-kadang saya pun lupa siapa saya – Nora Ariffin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin  meluahkan rasa syukur atas segala ujian hidup yang dilaluinya sepanjang 52 tahun kehidupannya.

Menerusi satu perkongsian di Instagram hari ini, Nora menyifatkan segala suka duka yang dialami sebagai rahmat daripada Allah SWT.

“Suka duka itu memang rahmat Allah SWT.
Benar sekali ujian itu tanda Allah sayang dan mahu kita sentiasa ingat dan tidak lalai pada-Nya, tidak bergantung pada manusia.

“Sepanjang 52 tahun hidup pelbagai fasa hidup yang telah saya lalui. Ujian demi ujian terpaksa saya redah, hadap dan telan. Kadang-kadang tewas, tidak mampu, putus asa juga,”katanya.

Selain itu, Nora turut bersyukur kerana dikurniakan insan-insan baik dalam kehidupannya yang banyak memberi sokongan moral dan dorongan ketika dirinya diuji.

Nora menyifatkan kehadiran rakan-rakan dan sokongan sekeliling yang diterimanya sebagai satu anugerah yang tidak ternilai.

“Namun, Allah itu maha mendengar san mengetahui. Dia hadirkan insan-insan yang baik, kurniakan rakan-rakan yang tak disangka- sangka untuk membantu, memberi sokongan, nasihat, beri motivasi, kasih sayang dan lain-lain supaya saya terus bangun, bangkit dan mengingatkan siapa Nora yang sebenarnya.

“Mereka ingatkan saya untuk terus kuat dan percaya pada diri sendiri. Kadang-kadang saya sendiri pun lupa siapa saya,”katanya.

Dalam perkongsian yang sama, Nora turut menasihatkan pengikutnya untuk sentiasa bersangka baik terhadap ketentuan Ilahi serta memahami hikmah di sebalik setiap ujian yang berlaku.

“Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Tiada yang berlaku secara kebetulan. Segala-galanya telah tertulis dalam ketetapan Allah SWT.

“Hukum Allah itu indah, cuma kita sebagai manusia yang kadang kala lalai dan ingkar,” katanya lagi.

Penyanyi lagu Naluri itu turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang masih setia bersamanya, sama ada dalam saat suka mahupun duka, termasuk ketika berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan dalam kehidupan serta kerjayanya.

“Terima kasih kepada semua yang masih bersama saya dalam segala keadaan. Kepercayaan kalian amat bermakna buat saya.

“Ini juga sebagai peringatan buat diri saya sendiri untuk sentiasa bersangka baik terhadap Allah SWT,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN