KUALA LUMPUR – Pelakon dan pelawak terkenal, Joey Daud, kembali menghangatkan industri muzik tanah air dengan single terbarunya berjudul Wamwamsam, sebuah karya komedi pop rock eksperimental yang penuh warna dan makna.
Di sebalik iramanya yang rancak dan lirik yang bersifat sinikal, lagu Wamwamsam menyampaikan mesej bermakna tentang pentingnya wawasan dan pendidikan, yang diilhamkan daripada pengalaman hidup dan pemerhatian sosial Joey Daud.
“Lagu ini saya hasilkan dari pengalaman hidup, pemerhatian sosial dan kenangan lama. Wawasan bukan sekadar kata — ia adalah panduan hidup. Wamwamsam mungkin kedengaran lucu, tapi maknanya mendalam,” kata Joey.
Menariknya, lagu ini menampilkan A.D dari kumpulan hip hop Sabah, Isohbatos, yang menyegarkan lagu dengan rap berbahasa Borneo dan menjadikannya jambatan muzik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Video muzik lagu ini turut mencuri tumpuan dengan konsep ala filem pendek, diarah oleh Amen Khalid, anak kepada Allahyarham Mamat Khalid yang memaparkan kisah pelajar kampung yang berjuang demi ilmu dalam suasana sekolah retro yang lucu dan menyentuh hati.
Wamwamsam bukan hanya sebuah lagu, tetapi seruan kepada generasi muda untuk bangkit dengan ilmu dan semangat perubahan.
Joey membuktikan dirinya bukan sekadar pelawak, tetapi seniman sejati yang berani mencabar sempadan seni.