KUALA LUMPUR : Berbeza dengan mana-mana artis lain, pelakon, Diana Danielle, 34, tidak pernah menyimpan hasrat untuk memegang gelaran sebagai seorang pengarah filem atau drama meskipun sudah membina profil anak seni yang cukup lama.
Menurut Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, dia tidak sanggup menggalas tugas itu kerana tanggungjawab posisi itu berat.
“Jadi pengarah? Bukan saya. Terus-terang, saya sanggup jadi penyunting berbanding menjadi seorang pengarah. Sebab kalau tengok skala penuh untuk jadi seorang pengarah, di bawahnya ada banyak bahagian.
“Semua bahagian ini kena bekerjasama untuk capai satu visi yang awak sedang cuba gambarkan. Di dalamya ada banyak gila halangan.
“Pengarah itu jadi nadi kumpulan. Jadi kalau dia datang dengan tiada ‘mood’ semua orang akan terkesan dengannya. Kalau dia datang dengan masalah walaupun ia besar, tetapi dia tenang, kita semua akan dapat semangat dan ‘hint’ bahawa semua okey.
“Jadi tanggungjawabnya itu sangat besar. Bagi saya, jadi pengarah itu bukan saya,”katanya di siaran Borak Selebriti, semalam.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada dia membenarkan dua anak-anaknya iaitu Muhammad dan Aurora berkecimpung dalam industru hiburan, Diana tidak pernah menghalang.
“Saya tahu mereka sudah ada pintu yang terbuka untuk mereka dan ada pengalaman juga tengok saya bekerja, macam mana sebenarnya ketempangannya, manfaatnya dan sebagainya.
“Bagi saya, terpulanglah sama ada mereka nak buat atau tidak. Sebab apabila sudah melepasi usia 18 tahun, saya dah tak boleh halang,”katanya.
Bagaimanapun, kata Diana, anak sulungnya, Muhammad ada menunjukkan kecenderungan dalam bidang lakonan namun tidak ada projek yang dirasakan sesuai lagi untuknya terbabit.
“Saya rasa Muhammad macam roti yang separuh masak lagi. Jadi banyak lagi aspek dia sebagai manusia yang masih ‘fragile’. Jadi dia nak bina dulu jati diri dia sebagai manusia sebelum kita perkenalkan dia kepada semua orang.
“Saya jenis bawa saja anak-anak ke mana-mana dalam industri. Tapi bawa anak-anak, tidak semestinya ia adalah laluan anak-anak itu nanti. Saya biasanya suka beri penjelasan kepada mereka tentang apa sahaja suasana atau situasi.
“Jadi mereka ada informasi itu. Sebab itu saya kata kalau mereka nak buat ( berlakon) buatlah, tak nak buat, sudah,”katanya.