PETALING JAYA: Dua penyanyi berbakat dari Malaysia dan Indonesia, Ernie Zakri dan Anggi Marito, tampil dengan kolaborasi istimewa menerusi single “Kisah Penuh Kecewa”.
Lagu ciptaan Clara Riva, Ernie Zakri, Anggi Marito dan S/EEK ini membawa mesej kekuatan selepas kekecewaan cinta. Ernie berkata, “Lagu ‘Kisah Penuh Kecewa’ ini adalah sebuah lagu yang sedih, mengenai cinta yang tidak menjadi kenyataan kerana pasangan sudah tidak mahu meneruskan hubungan. Tapi di penghujungnya, lagu ini membawa kekuatan yang mana lelaki atau wanita itu tetap tabah untuk menghadapi segala cabaran.”
Ernie turut berkongsi pengalamannya merakam lagu di Jakarta semasa Ramadan. “Rakaman berjalan dengan baik, tidak banyak cabaran. Tapi selain itu, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya. Dia juga memuji gandingan kreatif bersama Clara Riva, S/EEK dan IRVNAT yang menjayakan lagu ini.
“Saya sangat bangga dapat bekerja dengan Anggi, yang saya anggap salah seorang penyanyi muda terbaik dari Indonesia,” ujar Ernie, yang melihat kolaborasi ini sebagai bukti bahawa muzik mampu melangkaui sempadan.
Lagu ini mengetengahkan lirik yang mudah difahami dan menyentuh perasaan. Kata Ernie lagi, “Lagu ini sangat ‘straightforward’ dari segi liriknya. Saya rasa ramai pendengar akan mudah faham dan boleh kaitkan dengan mesej lagu ini. Saya cuma harap mereka dapat menikmati lagu ini, dan kalau pernah melalui pengalaman sama, mungkin lagu ini boleh jadi peneman.”
Bagi Anggi, peluang ini satu penghormatan besar. “Saya sudah lama mengenali nama Ernie dan mengagumi suaranya yang begitu indah. Dia punya ‘power’ dan ‘feel’ yang sangat dalam. Setiap lagu yang dia nyanyikan terasa langsung ke hati. Saya rasa sangat terhormat dapat bekerja sama dengannya,” katanya.
Menurut Anggi, “Penulisan lagu ini hanya memakan masa beberapa jam. Kami mengambil kira karakter suara saya dan Ernie, dan akhirnya sepakat untuk menghasilkan lagu yang menyentuh seperti ini. Ditambah pula dengan susunan muzik oleh S/EEK, lagu ini jadi lengkap dan sangat istimewa.”
“Kisah Penuh Kecewa” sudah dilancarkan pada 23 Mei 2025 di semua platform penstriman digital, manakala Anggi bakal tampil bersama Ernie di konsert Aura pada 31 Mei ini di Singapura.