Petaling Jaya – Kebelakangan ini, pihak Persatuan Karyawan semakin risau dengan satu trend yang makin menjadi-jadi di media sosial. Ada pihak yang sanggup reka cerita palsu tentang artis-artis kita demi nak kejar views dan duit. Nama-nama besar seperti Dato’ M. Nasir, Dato’ David Arumugam dan ramai lagi telah dijadikan ‘umpan’ untuk kandungan yang tak berasas.
Mereka cipta naratif palsu – kononnya artis ini sakit, meninggal dunia, hidup susah – sedangkan benda tu langsung tak berlaku. Guna pula suara dan imej rekaan dari teknologi AI, buat tajuk video yang gempak kononnya eksklusif, padahal semua rekaan semata-mata.
Lebih membimbangkan, ada juga kandungan yang menyamar sebagai berita mengejutkan, tapi bila klik, rupanya hanya untuk bawa penonton ke laman jualan produk. Nama artis digunakan tanpa izin, semata-mata untuk lariskan barang mereka. Ini bukan sahaja tak bermoral, tapi satu bentuk penipuan terang-terangan dan eksploitasi terhadap artis. Ia juga mengelirukan orang ramai, buat peminat panik, dan menjejaskan reputasi artis itu sendiri.
Lebih sedih, semua ini berlaku semata-mata untuk naikkan rating, views dan jana duit melalui monetisasi. Ia sebenarnya satu perangkap digital, yang ramai penonton tak sedar mereka sedang jadi mangsa.
Kami menyeru agar pihak berkuasa seperti SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) pantau dan sekat kandungan palsu seperti ini daripada terus tular. Pihak platform seperti YouTube, TikTok dan Facebook juga perlu lebih tegas.
Kami juga galakkan orang ramai supaya aktif buat laporan terhadap video-video palsu sebegini. Kalau ramai yang buat report pada platform pengendali, saluran mereka boleh digantung atau disekat terus. Kita kena sama-sama ambil tanggungjawab supaya ruang digital kita jadi lebih sihat dan beretika.
Kepada rakan-rakan artis dan penggiat seni, marilah kita bersatu mempertahankan maruah industri seni. Dan kepada rakyat Malaysia – jangan mudah percaya setiap apa yang tular. Saring sebelum kongsi. Tanya dulu, sahih ke tidak?
Jangan biarkan maruah artis kita dicemari demi klik dan duit semata.
Sekian.
Dato’ Freddie Fernandez
Presiden, Persatuan Karyawan Malaysia
20 Mei 2025