KUALA LUMPUR : Pempengaruh yang juga isteri penyanyi rap, Caprice, iaitu Farra Inalis, tidak bersetuju apabila wujud kalangan pengguna menjadikan media sosial sebagai platform untuk mencanang hal peribadi terutama melibatkan isu rumah tangga kepada umum.
Menurut Farra, mana-mana pasangan seharusnya menjaga aib rumah tangga masing-masing dan menyelesaikannya dengan baik secara tertutup.
“Bergaduh sehingga melafazkan cerai sebanyak
tiga kali secara jelas ketika live bersaksikan belasan ribu orang semasa isteri tengah mengandung? Maaf cakap, bagi saya dalam situasi ini kedua-duanya salah.
“Apa tujuan buat live ketika bergaduh? Nak viral? nak views tinggi ? Nak kata-kata semanggat dari netizen atau mintak kecaman ?Hal rumahtangga usahlah di buka aib sana sini.Dah tahu keaadaan tengah tegang sepatutnya hentikan siaran dulu, selesaikan secara peribadi,”katanya.
Farra berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuatnaik di Instagram hari ini.
Ia dipercayai bagi mengulas mengenai isu melibatkan seorang usahawan dan pempengaruh media sosial, Siti Jamumall yang diceraikan dengan talak dua oleh suaminya ketika sedang bersiaran langsung di Tik Tok baru-baru ini.
Selain itu, Farra juga percaya kejadian seperti itu mendatangkan keburukan akibat tindakan pengguna sendiri yang terlalu taksub dengan kamera tanpa sedar.
“Inilah bahaya bila terlalu taksub dengan kamera tanpa sedar segalanya nak dikongsikan dalam media sosial. Apabila viral malu dapat, anak-anak jadi mangsa, maruah keluarga pun tercalar sekali.
“Apa yang saya nak pesan di sini, ujian ini bukan hanya untuk mereka. Tapi kita juga. Jadikan sebagai ikhtibar, usahlah kita menjadi nasi tambah dengan melontarkan pelbagai komen-komen di hantaran mereka.
“Doakan saja yang baik-baik. Jaga tepi kain sendiri, jaga diri, jaga keluarga kita. Hari ini ujian mereka, esok lusa mana tahu ujian kita,”ujarnya.
Pada masa yang sama, Farra juga mengakui berasa kasihan dengan nasib Siti Jamumall yang kini juga sedang hamil.
“Kasihan Ya Allah, tengah mengandung pula itu, sikit lagi nak bertarung nyawa melahirkan anak. Semoga dipermudahkan segala urusan.
“Buat adik-adik, kakak-kakak yang tengah bercinta atau tengah merancang nak kahwin, seumur hidup itu lama. Jadi pilihlah pasangan yang tahu menghargai dan memahami dan bertanggungjawab.
“Pasangan yang sempurna itu tak wujud, jadi carilah yang sama-sama nak berubah untuk hubungan lebih baik. Paling penting jangan cari lelaki mulut murai, seminggu sekali kau kena cerai nanti,”katanya.