PETALING JAYA: “Saya sudah sedaya upaya untuk menutupi segala masalah yang berlaku kepada keluarga kami. Kepada orang luar tolong jangan berlebihan, mohon hormati.”
Demikian kata usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri yang menggesa pihak luar untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan mahupun campur tangan dalam urusan keluarganya.
Kesal dengan kemelut yang berlaku membabitkan ibunya, Rozita Ibrahim, isteri, Datin Seri Shahida Mohd Rashid dan adik-beradiknya, Aliff enggan isu tersebut terus berlarutan dan memberi tekanan terhadap keluarganya.
“Cukup-cukuplah apa yang berlaku kepada keluarga saya kebelakangan ini. Ini bukan sesuatu yang mengembirakan atau konten drama. Saya sayang keluarga saya dan mak saya. Keluarga kita unik tapi penuh kasih sayang. Mereka smua sayang mak walaupun kami bukan satu bapa tapi kami satu rahim.
“Sebagai anak, abang dan suami, saya turut tersepit dalam keadaan ini. Malah, sukar untuk saya luahkan apabila melibatkan ramai orang.
“Mak saya sudah tua dan punya anak remaja dan cucu. Adik-adik saya masih remaja dan mentah untuk melalui kehidupan di mana ibu bapa bercerai.
“Perlu ke saya cerita satu persatu? Mereka terpaksa menerima orang baru, mereka tidak menolak tetapi ianya tidak mudah. Hanya yang mengalami sahaja yang tahu perasaannya bila dalam keadaan ini,” katanya.
Aliff berkata demikian menerusi sebuah hantaran di Instagram, semalam.
Dalam hantaran sama, penyanyi lagu Abang Nak Tegur itu mengakui terkesan dengan situasi yang berlaku malah, simpati dengan tekanan yang harus ditanggung ibunya disebabkan perkahwinan baharu.
“Pada awalnya, saya gembira sangat mak nak berkahwin dengan masalah yang ditanggung. Tapi apa yang berlaku saya turut tertekan. Mungkin saya nampak gembira ketika saya buat live tetapi sebaliknya.
“Demi melihat ibu saya gembira dan saya tahu itu adalah pilihannya, saya akur. Yang penting ibu bahagia. Ditelan mati mak, dimakan mati bapa.
“Banyak benda ingin saya kongsikan tetapi saya rasa tidak manis untuk saya kongsikan di sini. Cukuplah apa yang saya rasakan, saya simpan untuk diri saya sahaja,” jelasnya.
Sementara itu, Aliff turut memohon maaf secara terbuka dan meluahkan rasa sayangnya terhadap ibunya itu.
“Kepada mak saya Rozita Ibrahim, saya bukan nak apa-apa hanya nak mak dan semua bahagia. Maaf mak kalau saya salah tapi kalau mak ada masalah panggilah saya dan Ida (Shahida). Kami tahu di mana letaknya kami ketika ini.
“Insya-Allah, kami akan ada sentiasa untuk mak walau apa jua keadaan mak ketika itu. Kasih sayang ini akan ada selamanya untuk mak bukan sebab harta yang mak ada. Selamat pengantin baru mak,” ujarnya.
Terdahulu, Rozita tampil mendedahkan keperibadian menantunya, Shahida yang disifatkan sebagai seorang wanita yang cantik dah bijak.
Perkongsian tersebut sekali gus membantu membersihkan nama baik Shahida terutama setelah cuba dicemarkan dengan pelbagai tuduhan oleh adik iparnya, Rebecca Nur Islam dan pihak tertentu lain.