PETALING JAYA: Datuk Afdlin Shauki, figura seni tanah air yang juga dikenali sebagai aktivis masyarakat, kini tampil dengan tekad baharu untuk berbakti secara lebih tersusun melalui pentas politik dengan menawarkan diri sebagai calon Ketua Cabang PKR Setiawangsa.
Menerusi Yayasan Afdlin Shauki atau YAS, pengarah dan pelakon itu telah lama melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan termasuk misi kemanusiaan di Syria, bantuan makanan serta keperluan asas kepada keluarga B40. Inisiatif seperti pemberian petrol percuma kepada penunggang motosikal berpendapatan rendah turut membuktikan keprihatinan yang diterjemah kepada tindakan sebenar.
Datuk Afdlin menegaskan bahawa tanggungjawab sebagai Ketua Cabang bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya kesinambungan kepada perjuangan sosial yang telah sekian lama diperjuangkan. Cabang parti menurutnya perlu diperkasa sebagai jentera akar umbi yang efektif dan berjiwa rakyat selari dengan semangat reformasi.
Sebagai cerminan komitmen tersebut, motto Mesra Setiawangsa diperkenalkan sebagai prinsip kepimpinan yang menekankan sentuhan peribadi, tindakan inklusif dan kehadiran sebenar di sisi rakyat. Pemimpin katanya perlu hadir bukan sahaja semasa pilihan raya tetapi pada setiap waktu rakyat memerlukan.
Aktivis itu turut mahu mengangkat kembali peranan cabang sebagai pusat sokongan masyarakat. Tumpuan utama termasuk memperkasa program pembangunan insan yang melibatkan golongan muda, wanita, warga emas dan orang kurang upaya menerusi kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan, institusi pendidikan dan agensi berkaitan.
Datuk Afdlin turut menekankan keperluan budaya kepimpinan yang telus, ikhlas dan berpasukan. Ketika rakyat semakin skeptikal terhadap politikus, hanya kehadiran yang konsisten dan tindakan yang nyata mampu mengembalikan keyakinan serta kepercayaan.
“Saya datang bukan untuk berjanji tetapi untuk terus berbakti. Sudah lama saya bersama rakyat tanpa gelaran. Kini saya mohon mandat agar khidmat ini dapat diperluas secara lebih sistematik dan mampan. Setiawangsa harus menjadi model cabang yang aktif serta peduli,” katanya.