Sedih, rumah terasa kosong - Awie akur beraya tanpa anak-anak - Utusan Malaysia

Sedih, rumah terasa kosong – Awie akur beraya tanpa anak-anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Saya rasa sedih juga kerana rumah terasa agak kosong dan hanya ada anak-anak kecil.”

Demikian luahan penyanyi dan pelakon, Datuk Awie yang sayu tidak dapat beraya bersama anak-anak hasil perkahwinan pertama dan kedua sempena Syawal ini.

Awie atau Ahmad Azhar Othman, 57, berkata dia akur dan menghormati keputusan yang telah dicapai dengan bekas isteri selain memilih untuk beraya secara bersederhana.

“Tahun ini persiapan biasa sahaja kerana ada anak-anak saya yang tidak beraya bersama. Mereka balik ke rumah ibu mereka masing-masing.

“Saya tunggu mereka balik dalam dua tiga hari dan kemudian kami beraya semula. Tapi kita tetap perlu menghormati giliran masing-masing.

“Persiapan hanyalah mengemas rumah dan hanya pakai pakaian sekadar apa yang ada sahaja. Kami masih beraya tetapi tak semeriah seperti tahun lalu,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan sidang media Rumah Produksi Merah, pada Khamis.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Sejati itu turut mengakui ketiadaan anak-anak di sisinya ketika raya membuatkan emosinya agak terkesan terutamanya anak sulungnya.

“Saya kalau tak ada anak-anak saya merasa sedikit lemah, tambahan pula mereka sudah dewasa. Seorang bapa akan mengenali erti tanggungjawab daripada anak sulung. Jadi bila anak sulung tiada, saya terasa perbezaannya.

“Bukanlah anak-anak lain tidak memberi makna, namun anak sulung yang memberi gelaran bapa kepada kita. Saya tak tahulah kalau dia kahwin nanti macam mana. Tetapi raya tetap raya, kita kena diraikan kemenangan berpuasa,” jelasnya.

Terdahulu, Awie pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi Arni Nazira, namun bercerai pada tahun 2006. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Putri Aleeya Antasha dan Putri Aleefa Antasha.

Awie kemudian berkahwin buat kali kedua bersama Rozana Misbun pada 2005, namun sah bercerai pada 1 November 2014. Mereka dikurniakan tiga anak, Putra Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rezzki dan Puteri Qasseh Antasha.

Pelakon filem Hantu Kak Kak Limah itu bertemu jodoh buat kali ketiga dengan isterinya, Sharifah Ladyana pada 7 Oktober 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN