SETIAP individu yang sudah melangkau alam dewasa pasti mempunyai niat untuk mempunyai pasangan dan mendirikan rumah tangga.
Tambah pula, pada zaman kini pantang seseorang itu membujang terlalu lama pasti ada soalan-soalan mengundang dari golongan ‘makcik bawang’.
Bila nak kahwin? Dah kahwin ke belum? Tak ada calon lagi ke? Itulah antara soalan popular yang bakal dihadap seseorang sekiranya dilihat tenang menjalani kehidupan solo.
Meskipun ada yang tergugat apabila diajukan soalan seperti itu, ada juga individu yang selesa memilih untuk kekal membujang walaupun sudah berusia.
Seperti pelakon senior, Kenji Sawahi, kini dia masih seronok menikmati zaman bujangnya meskipun sudah berusia 61 tahun.
Tidak pernah mendirikan rumah tangga, Kenji mengaku kehidupannya lebih bebas dan hanya perlu bekerja keras untuk menyara diri sendiri sahaja.
“Menjadi orang bujang ini memang seronok sebab kita bebas nak pergi ke mana saja, buat keputusan sendiri dan macam-macam lagi. Komitmen sepenuhnya pada diri sendiri saja.
“Cuma, saya tak boleh sakitlah kerana tiada siapa yang menjaga. Tiada orang yang nak teman dan tengok-tengokkan saya macam beri makan ubat atau masakkan bubur.
“Itulah kekurangannya pula bila kita hidup sendiri dan tiada pasangan,” katanya.
Persiapkan diri untuk tinggal di rumah kebajikan orang tua
Enggan menjadi beban terhadap ahli keluarga mahupun adik-beradik, Kenji sudah merancang untuk mendaftarkan dirinya di rumah kebajikan orang tua dan menghabiskan sisa kehidupannya di sana.
Tambah pelakon itu, dia juga bercadang untuk mengagihkan segala harta serta wang ringgitnya kepada ahli keluarga dan anak saudara yang sudah pun dianggap seperti anak sendiri.
“Disebabkan tidak berkahwin dan ada anak sendiri, saya akan jual semua harta benda serta agihkan wang itu terlebih dulu. Kemudian, saya duduklah di rumah kebajikan orang tua.
“Sebab, siapa yang nak jaga saya? Memang saya ada adik-beradik, tetapi mereka pun sudah ada keluarga dan ada masalah sendiri juga. Jadi, saya terpaksa mendaftarkan diri di rumah kebajikan orang tua.
“Tapi, takdir itu ketentuan Tuhan dan sekarang pada umur 60 ini, bila esok masih lagi dapat buka mata, saya kira ‘untung’ sehari lagi.
“Jika saya meninggal dunia, harta saya semua akan diserahkan kepada anak saudara yang saya sudah anggap seperti anak sendiri,” jelasnya.
Meskipun selesa menjadi bujang ‘terlajak’, pemilik nama penuh Lim Boon Wah tetap menyerahkan segala perihal jodoh kepada ketentuan takdir.
Malah, dia juga terbuka sekiranya jodohnya bersama seorang ibu tunggal memandangkan usianya juga sudah lanjut.
“Kalau ada jodoh dan Tuhan izinkan, okaylah. Tapi, bagi saya umur 61 dan baharu nak berkahwin, ketika anak umur 20 tahun dan saya dah 80 tahun. Macam mana saya larat nak bela keluarga.
“Mungkin juga saya kena kahwin dengan ibu tunggal yang ada anak. Tetapi terpulanglah kalau jodoh ada, saya terima saja. Ia sama macam kerja juga, kalau itu rezeki kita memang akan jadi rezeki kita,” katanya.










