Gugur lagi sebutir permata seni - Utusan Malaysia

Gugur lagi sebutir permata seni

KUALA LUMPUR, 15 Mac 2023 - Artis, Datuk Hail Amir bergambar selepas sidang akhbar The Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) Konsert Sepanjang Zaman di Traders Hotel di sini, hari ini. FOTO - FAIZ ALIF ZUBIR/PEMBERITA - HANISAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS seminggu bertarung nyawa di Hospital Kuala Lumpur (HKL), akhirnya, penyanyi dan pelakon popular era 70-an, Datuk Hail Amir, dijemput Allah pulang ke negeri abadi kira-kira pukul 3.48 petang Isnin akibat jangkitan paru-paru.

Berita duka yang dimaklumkan sendiri anaknya, Cinta Hailfi itu disambut sugul seluruh industri seni tanah air.

Jenazahnya selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana pagi semalam.

Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Uji Rashid , Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Yusof Haslam, Datin Salwa Abdul Rahman, Mubarak Majid antara ratusan yang hadir semalam bagi memberi penghormatan terakhir kepada bintang bertaraf legenda itu.

Allahyarham yang dilahirkan pada 2 November 1947 merupakan anak seni yang berkebolehan. Industri hiburan ketika era 70-an meriah dengan lagu-lagu yang arwah nyanyikan.

Bagaimanapun populariti beliau benar-benar melonjak menerusi lagu Wajah Kesayangan Hamba yang dicipta pada tahun 1976.

Sehingga kini, lagu tersebut masih menyegarkan halwa telinga pendengar dan terus menjadi pilihan untuk diputar di corong-corong radio mahupun ketika berlangsungnya majlis perkahwinan.

Tidak dilupakan, lagu Seloka Hari Raya yang dinyanyikan arwah bersama penyanyi, Uji Rashid menjadi antara lagu Hari Raya Aidilfitri terbaik sepanjang zaman.

Tentu sekali, perasaan kita yang mendengarkan lagu itu ketika Syawal selepas ini tidak lagi sama seperti sebelumnnya.

Allahyarham juga berbakat dalam lakonan dan terjun ke dalam bidang tersebut menerusi watak Hairi dalam filem, Jiwa Remaja pada tahun 1975. Hampir sedekad jejaka kelahiran Pulau Pinang itu aktif di layar perak sehinggalah filem terakhirnya Jaket Biru, pada tahun 1991.

Mengenali arwah secara dekat, penyanyi, Bob Yusof mengakui cukup senang dengan keramahan arwah yang ketika hayatnya sentiasa meninggalkan pesanan tentang keutamaan disiplin bekerja.

Kata Bob, momen paling manis adalah apabila arwah melayangkan penghargaan selepas menyaksikan persembahannya membawakan lagu Wajah Kesayangan Hamba ketika pembabitannya dalam program Akademi Fantasia musim keempat.

RENDAH DIRI, MUDAH MESRA

TURUT merasa kehilangan adalah pelakon dan pelawak, Farouk Hussain yang merupakan antara rakan industri yang cukup akrab dengan Allahyarham.

Farouk yang dihubungi semalam, mengenang momen terindah ketika beberapa kali berkongsi pentas dengan arwah sepanjang hayatnya.

“Allahyarham disenangi ramai kerana keramahannya. Saya menjadi akrab dengan beliau disebabkan sebelum ini kami selalu terbabit dalam acara yang sama, selain dia juga seperti saya yang berasal dari Pulau Pinang.

“Satu perkara yang saya tak boleh lupa adalah sikap rendah diri Allahyarham meskipun beliau seorang pelakon dan penyanyi bertaraf legenda.

“Selain itu, arwah juga rajin berpesan kepada artis yang lebih junior seperti saya, agar tidak terlalu mendongak ke langit, sentiasa membumi dan jangan pernah gagal menyantuni peminat

“Kita telah hilang sebutir lagi permata seni yang banyak jasa dan sumbangannya kepada industri. Semoga kebaikannya sentiasa dikenang, dan semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan yang beriman,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya