SHAH ALAM : Penyanyi, Ernie Zakri, mengakui, isu hubungan membabitkan orang ketiga atau penyondol merupakan satu perkara yang terlalu sensitif untuk diperkatakan namun berharap perkara seperti itu tidak berlaku terhadapnya dan suami, Syamel.
Bagaimanapun, bercakap kepada Utusan Malaysia, Ernie berkata, dia sentiasa berada di pihak wanita yang teraniaya sekiranya diminta untuk memberikan pandangan berhubung isu seperti itu.
“Bab sondol menyondol ini, bagi saya ia adalah satu isu berat dan pastinya saya sebagai wanita, akan menyebelahi wanita yang teraniaya dan menjadi mangsa.
“Namun, saya tetap tak boleh nak ulas lanjut sebab tidak memahami situasi dan berada di tempat mereka,” katanya.
Ernie berkata demikian ketika ditemui pada majlis Wacana Srikandi sempena Hari Wanita, di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, semalam.
Selain itu, Ernie turut berkata, dia berasa tidak layak untuk terlalu mengulas mengenai hubungan mana-mana pasangan lain memandangkan usia dan pengalamannya dalam rumah tangga juga baharu mencecah tahun ketiga.
“Saya dan Syamel baru berkahwin selama tiga tahun, sebab itu tidak boleh komen isu sondol menyondol itu.
“Apapun, perkahwinan bukan setakat tentang komunikasi tetapi juga saling melengkapi.
“Kalau tidak pandai masak, usahalah. Tonton YouTube dan cuba belajar memasak. Contohnya, jika suami suka masak lemak cili api, saya akan usaha untuk lakukannya,” katanya.
Dalam pada itu, Syamel ketika ditanya turut berdoa agar rumah tangganya dengan Ernie dipelihara daripada ‘campur tangan’ orang ketiga atau penyondol.
“Melihat semua yang berlaku, kami pun takut setiap kali keluar isu begitu sebab melibatkan lelaki dan perempuan.
“Jadi, kami sentiasa ambil pengajaran agar tak terjurumus ke arah itu. Apabila baca terus kami beringat dan berdoa benda yang baik-baik sahaja,” katanya.
Terdahulu, seorang pemuzik dikenali Anwar Amzah didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan Ernie oleh seorang individu tidak dikenali di media sosial.
Menerusi laporan media, Ernie memberi respons dan menegaskan dakwaan tersebut mengarut dan dia juga sudah lama diganggu individu terbabit dalam media sosial.
Syamel dan Ernie mendirikan rumah tangga pada 26 Mac 2021 di Masjid Puncak Alam dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Khawla Soleha kini berusia dua tahun.