Radio sekarang lebih bising - Halim Othman - Utusan Malaysia

Radio sekarang lebih bising – Halim Othman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengacara senior dan penyampai radio, Halim Othman berpendapat, terdapat perbezaan ketara dalam trend mengendalikan segmen radio pada hari ini.

Menurut Halim, jika dahulu, radio selalu memberi tumpuan kepada informasi, namun hari ini fokus penyampaian lebih cenderung kepada jenaka yang lebih ‘bising’.

“Radio dulu dan sekarang ramai yang cuba bandingkan. Dahulu, kita ada ketulenan dari segi penyampaian. Kita tak paksa diri untuk buat kelakar.

“Jenaka akan lahir dengan sendirinya semasa kita ke udara contohnya datang daripada pemanggil sendiri.

“Perkara ini susah dijelaskan dengan kata-kata. Namun pendengar boleh rasa radio dulu ada kepuasan yang lebih mendalam berbanding radio sekarang yang secara umumnya, lebih menjurus kepada perkara-perkara yang lebih bising,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jelas Halim lagi, dengan perkembangan dunia teknologi hari ini, penyampai radio perlu bijak mengawal tumpuan penyampaian bukan hanya di dalam konti, malah penonton di media sosial.

“Dahulu tiada media sosial, jadi memang kita boleh berikan seratus peratus tumpuan kepada lontaran suara.

“Sekarang sudah ada TikTok live, jadi penyampai perlu bahagikan fokus kepada banyak perkara termasuklah penampilan mereka,” katanya.

Menjelang bulan Ramadan yang bakal bermula esok, Halim akan bersiaran di akaun TikTok miliknya bagi menemani peminat bersahur.

“Sekarang saya buat rancangan radio sendiri. Sempena bulan Ramadan, saya akan bersiaran waktu sahur di akaun TikTok.

“Seronok sebenarnya kerana saya boleh bertemu empat mata dengan pendengar semasa di radio dahulu.

“Bukan itu sahaja, saya juga boleh memainkan lagu sendiri yang tidak berkesempatan saya putarkan semasa bekerja menjadi penyampai radio dahulu seperti muzik keroncong, lagu penyanyi Neil Diamond dan Ebiet G Ade,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya