KUALA LUMPUR : Pelakon, Raja Atiq, 24, mengakui dia sentiasa terbuka menerima teguran daripada peminat dan pengikutnya di media sosial mengenai sebarang isu tetapi bertegas untuk tidak memberi muka kepada mana-mana pihak yang melampaui batas.
Menurut pelakon dengan nama sebenar, Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah ini lagi, dia tidak boleh bertoleransi dengan pengguna media sosial yang menggunakan bahasa tidak manis dengan alasan ia adalah satu teguran buatnya.
“Saya sentiasa berterima kasih kepada orang ramai yang menegur tentang apa sahaja mengenai saya. Tentang tindakan tayang badan misalnya, ya saya akui memang kesilapan diri sendiri kerana tidak menjaga batas.
“Tetapi yang menjadi masalah apabila saya ditegur dengan cara yang salah. Walaupun tidak nampak perubahan itu (selepas ditegur), namun kita tidak tahu pengakhiran hidup seseorang itu bagaimana,” katanya kepada Utusan Malaysia, ketika ditemui di sebuah acara hiburan, semalam.
Selain itu, menurut Raja Atiq, dia percaya setiap orang tidak lepas daripada melakukan kesilapan namun masyarakat juga tidak wajar mudah menghakimi seseorang individu itu.
Malah, pelakon ini juga menjadikan penghijrahan imej pelakon dan pempengaruh media sosial, Norreen Iman sebagai contoh dalam hujah perbualannya.
“Tengok sahaja pelakon Norreen Iman sekarang. Kita tahu dahulu dia bagaimana (seksi), tetapi lihat dia sekarang.
“Jadi jangan mudah hukum seseorang. Sebaliknya doakan yang baik-baik dan tegurlah dengan cara yang betul,”katanya.
Pada masa sama, Atiq yang pernah bergelar pelajar tahfiz ketika mendapatkan pendidikan di sebuah sekolah agama turut mengakui tidak memanfaatkan ilmu yang dimilikinya itu dengan baik.
“Walaupun ada latar belakang pendidikan sekolah agama, saya akui memang salah saya.
“Saya ada asas dalam bidang tersebut (agama), namun tidak gunakan dengan cara yang baik. Terus terang saya minta maaf, memang salah saya,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon yang popular menerusi drama Nur itu tidak menolak keluarganya juga kerap memberi teguran susulan kecaman netizen yang dilemparkan terhadapnya.
“Keluarga kerap menegur saya. Iya, memang salah saya. Terima kasih juga kepada keluarga sebab sentiasa tegur anak mereka. Memang saya ada masalah pun.
“Saya ambil teguran itu untuk menjadi manusia yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.
Sebelum ini, Atiq pernah dikecam kerana menayang otot perut atau six pack ketika bercuti di sebuah pulau peranginan di Terengganu sehingga mencetuskan pelbagai reaksi khalayak.
Atiq kemudian tampil mempertahankan diri dan sempat menempelak netizen, selain meluahkan rasa berang apabila ada individu bertindak melampau sehingga sanggup menghinanya.
Katanya, dia bukan tidak boleh menerima teguran, namun komen dilemparkan seolah-olah pihak terbabit langsung tiada dosa.