KUALA LUMPUR : Pempengaruh media sosial, Ubai, 26, mengakui tidak pernah menyangka bahawa isterinya, Shila Amzah, mencipta populariti luar biasa di China sebelum ini.
Menurut Ubai atau nama sebenarnya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, kenyataan ini bukan bermakna dia tidak tahu mengenai fakta Shila selalu membuat persembahan di negara itu namun tidak menyangka bahawa Shila sebegitu popular di sana.
“Hari ini baru aku tahu, isteri aku ni big superstar. Pertama kali ikut Shila buat persembahan di luar negara.
“Pengawal keselamatan pun ramai dan penonton full house! Hari ini (Sabtu) konsert di Macau, bulan Mac di China.
“Konsert ni sempena Tahun Baharu Cina, dekat The Londoner, Macau,” katanya menerusi aplikasi X.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen rata- rata netizen mengatakan mereka sudah mengetahui mengenai populariti Shila.
Malah ada juga kalangan pengguna media sosial termasuk peminat mempersoalkan kenyataan Ubai.
Ini kerana, sebelum berkahwin dengan penyanyi tersebut, Ubai pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia sangat meminati Shila sebagai seorang artis.
Rata-rata menyifatkan Ubai seakan tidak cakna dengan fakta mengenai Shila selain menganggap dia bukanlah benar-benar peminat tegar penyanyi berkenaan.
Untuk rekod Shila sah bergelar isteri kepada Ubai pada 5 Ogos 2023 dan kini sedang hamil anak pertama hasil perkongsian hidup bersama.