KUALA LUMPUR : Tidak pernah berniat untuk mencari rezeki menerusi pemberian gifts daripada pengguna TikTok, pelakon dan pengarah, AR Badul kesal apabila ada segelintir warganet yang mudah mencetus persepsi negatif dan memandang hina golongan selebriti veteran khususnya.
Baginya, siaran langsung yang dikendalikan saban hari adalah ruang untuk dia berinteraksi terus dengan peminat yang meluahkan kerinduan terhadap lagu, filem dan dramanya yang popular satu ketika dahulu.
“Kalau komen kata sudah tak laku itu, saya pun kena. Tak apalah, dia mungkin bukan peminat saya. Jadi dia tak tahu. Bila saya bersiaran langsung, ramai yang minta saya mainkan lagu, cerita pengalaman.
“Sebab itu saya selalu pesan, mana-mana yang berusia bawah 40-an, kalau tak suka, tak tahu saya tak apa. Pilih selebriti lain. Siaran langsung saya untuk peminat yang mahu tahu dan berkongsi cerita.
“Tapi kalau sampai cakap meminta sedekah, mengemis itu semua tak baik. Janganlah hina kami. Tak pernah pula saya rayu bagilah gifts bunga, ikan paus semua. Saya sendiri malu kalau meminta-minta,” ujarnya.
Kongsi AR Badul lagi, tujuan asal dia sering melakukan siaran langsung di TikTok adalah sebagai pemberitahuan yang dia masih hidup selepas pernah beberapa kali difitnah sudah meninggal dunia.
Hari demi hari, penonton siaran langsungnya bertambah membuatkan pelakon Prebet Lapok itu mula memikirkan kandungan bersesuaian tanpa niat untuk meraih wang daripada perkongsian cerita dan hiburan tersebut.
“Banyak kali berita saya meninggal dunia keluar. Bila saya keluar kenyataan, tak ramai pula ambil peduli. Jadi saya buat siaran langsung. Hari-hari boleh tengok saya. Banyak soalan pun saya jawab.
“Saya suka berborak dengan peminat. Mereka tanya cerita dulu-dulu. Pengalaman saya berlakon dengan seniman seniwati yang mungkin sudah tidak ada lagi. Mereka hargai saya dan anak seni lain.
“Kalau bagi gifts, mungkin itu beri keseronokan kepada mereka. Saya pun jika dapat gifts, saya akan kongsi dengan buskers atau rakan-rakan artis lain bila bertemu mereka. Berkongsi rezeki,” katanya.










