KUALA LUMPUR : Pengarah filem Rain Town, Tunku Mona Riza, menaruh harapan besar supaya peminat filem tempatan dapat menyokong karya terbaharunya, Rain Town yang kini ditayangkan di pawagam.
Menurut Mona, ia juga susulan tindakan pengurusan pawagam yang berhasrat mahu menarik semula penayangan filem berkenaan selepas Rain Town dikatakan gagal mendapat sambutan sejak mula ditayangkan di seluruh pawagam pada 8 Februari lalu.
“Saya difahamkan bahawa pihak pawagam akan mengurangkan ‘show’ saya dan kemungkinan besar akan menghentikan penayangannya di seluruh pawagam di seluruh semenanjung Malaysia termasui di Sabah dan Sarawak.
“Oleh itu, saya benar-benar berharap anda dapat memberi sokongan penuh dengan membeli tiket untuk menonton filem Rain Town dan memberi sokongan kuat kepada filem saya,”katanya.
Selain itu, kata Mona, dia juga yakin bahawa filem Rain Town adalah sebuah naskhah yang mudah difahami meskipun bukan dihasilkan dalam bahasa kebangsaan.
“Filem ini ialah sebuah filem yang senang difahami. Walaupun dalam bahasa Kantonis, saya percaya anda dapat memahaminya dengan senang.
“Saya benar-benar berharap dengan adanya sokongan dari anda semua, kita dapatlah bertahan selama seminggu lagi sekurang-kurangnya di pawagam.
“Saya memang perlukan sokongan anda semua,”katanya.
Terdahulu, pelakon filem berkenaan, Chew Kin Wah menerusi sebuah video di media sosial dilihat merayu penonton untuk pergi menonton Rain Town di pawagam agar ia tidak ditarik tayangannya.
Pada masa yang sama, Mona memberitahu video tersebut bukan satu bentuk strategi pemasaran untuk menghangatkan lagi sambutan orang ramai.
Kata Mona, apa yang diperkatakan Kin Wah dalam video tersebut adalah perkara benar.