BERHATI-HATI dengan golongan berjubah bukan bermaksud anti golongan agamawan. Itulah yang ditegaskan penyanyi, pelakon dan komposer, Naim Daniel, berikutan hantarannya di media sosial yang menyindir golongan ‘berjubah’ namun melakukan kebatilan.
Tidak menceritakan secara teliti apa yang pernah dilalui, penyanyi lagu Urat itu mengakui pernah berdepan individu yang lagaknya seperti seorang ustaz, berpenampilan baik, berjubah namun memiliki personaliti bertentangan.
“Kadangkala saya rasa cara paling tepat untuk ‘menjerat’ seseorang ialah dengan air mata, agama dan harta. Imej baik seperti itu kadangkala membutakan mata manusia.
“Perkara itu memberi tanggapan yang tidak baik kepada mereka yang betul-betul baik, memakai jubah dan memiliki personaliti yang terpuji. Ia tidak adil kepada mereka, jangan cemarkan mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Namun begitu, Naim berharap agar kenyataannya jangan disalah anggap seolah-olah ingin memukul rata mereka yang mengenakan jubah.
“Saya bukan mahu pukul rata, cuma mahu mengkritik mereka yang buat onar dan berjubah. Saya sendiri berbaju Melayu kalau ke sidang media atau mana-mana majlis. Perkara itu nampak biasa tapi sebenarnya berat. Ada tanggungjawab.
“Jika susah dan rasa tidak mampu pikul tanggungjawab itu, jangan pakai. Saya bukan anti golongan agamawan. Lihat sahaja Ustaz Don Daniyal, bagi saya dia adalah contoh individu baik yang mana pakaiannya selari dengan personaliti,” tegasnya.
Walaupun dilihat lantang bersuara di media sosial, pelakon itu bagaimanapun hanya akan ‘bising’ jika isu yang sedang berlegar memberi kesan kepada kehidupannya sebagai masyarakat.
“Jika ada yang rasa saya semakin lantang di media sosial. Sebenarnya saya hanya menyuarakan bagi pihak masyarakat. Kerana saya pun sebahagian daripada masyarakat dan membayar cukai.
“Cuma apabila semakin dewasa, saya tidak lagi ulas banyak perkara. Saya pilih topik dan isu apa yang layak diperjuangkan,” tambahnya.
Jual dadah dalam jeruk mangga
Dalam perkembangan lain, Naim sedang sibuk menjalankan penggambaran drama terbitan Astro Shaw, Project: Exit.
Naim bakal membawakan karakter seorang budak bijak yang dimasukkan ke sekolah pemulihan akhlak kerana faktor kemiskinan membuatnya terpaksa bekerja menjual dadah yang ditabur di atas jeruk mangga.
“Watak saya bukan nakal. Tapi terpaksa buat kerja terlarang untuk masuk ke dalam sekolah pemulihan akhlak. Di sekolah ini sahaja dia dapat belajar atas faktor kemiskinan.
“Sebenarnya cerita ini diambil daripada kisah benar. Tidak sukar mendalami karakter ini kerana saya pun pernah bersekolah di kawasan panas dahulu di mana memang ada polis keluar masuk.
“Ini ialah perkara yang saya nampak depan mata dahulu,”katanya.










